Tahniah buat pasukan bola sepak Malaysia apabila berjaya membenam Indonesia 3-2 pada saingan pembukaan kumpulan G, pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2032, pada Khamis di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
Lalu menerusi media sosial, rata-rata rakyat negara ini mengucapkan tahniah buat skuad Harimau Malaysia yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan.
Malah para pemain terlibat turut menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan.
Bagaimanapun, timbul pula cerita kurang enak di kalangan pencinta bola sepak tempatan apabila telah berlaku insiden seperti dibaling batu dan beberapa objek lain dipercayai dilakukan penyokong lawan.
Malah, menerusi Twitter, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq turut menyatakan hal sama dan menteri muda itu turut memaklumkan bahawa FAM bakal membuat aduan rasmi kepada FIFA berhubung insiden yang berlaku.
Terkini menerusi Antara News, Menteri Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia Imam Nahrawi ada melakukan pertemuan dengan Saddiq bagi menyatakan permohonan maaf atas kekecohan yang berlaku.
Kenyataan artikel berkenaan antara lain menyebut, ia diharapkan dapat menyatukan kembali persahabatan di antara penyokong bola sepak kedua negara. Malah Nahrawi turut berkongsi videonya bersama Saddiq menerusi Instagram.
Terdahulu, tular beberapa video yang merakamkan aksi tidak bermoral penyokong Indonesia yang dipercayai menyambut penyokong Malaysia dengan balingan batu selain diherdik.
Malah difahamkan, ketika perlawanan berlangsung, penyokong lawan dikatakan turut mencetuskan situasi provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Malaysia.
Susulan itu, Facebook Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), turut dihujani komen pelbagai dari netizen negara mengenai pandangan mereka terhadap insiden yang berlaku.
Foto: Instagram Syed Saddiq, Imam Nahrawi