“Insya-Allah dapat diselesaikan secara baik.”
Demikian maklum peguam mewakili pelakon Fattah Amin, Zulkifli Che Yong susulan perbincangan di luar mahkamah membabitkan kedua-dua peguam bagi menyelesaikan konflik perceraian antara Fattah dan isterinya, Nur Fazura.
Zulkifli berharap, sebutan kedua tuntutan perceraian Fazura terhadap Fattah yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor hari ini bakal dimuktamadkan secara baik.
“Setakat perkembangan sekarang saya difahamkan ia dapat dimuktadkan secara baik dan sangat positif Insya-Allah.
“Apapun kita nantikan keputusan mahkamah prosiding selesai,” katanya.
Ditanya mengenai adakah Fazura dan Fattah ada bertemu sepanjang sesi perbincangan dilakukan, Zulkifli bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara itu.
“Saya tak tahu dan tak boleh nak jawab,” katanya.
Sebelum ini, mahkamah menangguhkan kes perceraian susulan menerima cadangan baharu daripada defendan yang mahu kes itu diselesaikan secara baik.
Ketika prosiding kes pertama pada 25 September lalu, Fattah atau nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin, 33, enggan menceraikan Fazura atas alasan masih lagi menyayangi isterinya, manakala Fazura nekad mahu berpisah.
Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini