Pelakon Isa Khan yang selamat bergelar suami kepada Risteena menzahirkan rasa syukur apabila abangnya, Miller Khan yang mencipta nama di Indonesia telah pun mengikat tali pertunangannya bersama wanita pilihan, pada Khamis.
Majlis pertunanangan tersebut dilangsungkan sehari sebelum dia dan Risteena diijab kabulkan.
Terdahulu, Isa dan Risteena diraikan pada majlis resepsi yang dilangsungkan dalam norma baharu di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada Jumaat.
“Kami saling berhubung cuma buat masa ini tidak boleh rentas negara. Saya ada dua beradik lelaki di Indonesia, iaitu Miller dan Alif.
“Insya-Allah bila semuanya kembali pulih kami pasti akan luang masa untuk berjumpa,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Miller atau nama sebenarnya, Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan, 33, selamat bertunang dengan pereka fesyen, Farina Rebecca, 30, di Jakarta.
Selain mengucapkan tahniah di atas perkahwinan adiknya, bintang filem Rasuk itu mendedahkan dirinya tertarik dengan Farina berkenaan kerana personaliti selain pandai mengambil hati.
Miller turut berkongsi momen indahnya bersama pasangan menerusi beberapa pautan di Insta Story beberapa hari lalu.
Foto: Instagram Miller, Isa Khan