Selepas penyanyi Nora Ariffin mengakui gadis yang tular kerana video bercumbu dengan seorang remaja lelaki pada Khamis merupakan anak perempuannya, anak sulung kepada bintang berkenaan, Mohd Syakir Iman, turut tampil memberikan reaksi.
Menerusi satu status yang telah dikemas kini menerusi Twitternya pada Jumaat, Syakir mendedahkan pihaknya akan bertemu dengan keluarga remaja lelaki tersebut.
Memohon agar mendoakan yang terbaik, lelaki berusia 27 tahun itu turut meminta ramai agar tidak berkongsikan lagi video yang berkaitan.
“Perkara ini telah berubah menjadi lebih serius. InshaaAllah petang ini kami akan bersemuka dgn keluarga budak lelaki itu.
“Walaupun ada yg sudah membenci dan mencaci adik & mak saya, saya mohon jasa baik anda utk tidak share video yg sedia ada, dan doakan kami semua InshaaAllah,” tulisnya.
Sementara itu, sepotong video berbeza dipercayai turut dimuat naik seorang pengguna Twitter dan Syakir turut memberikan reaksinya.
Bagaimanapun, video tersebut sudah pun dipadamkan.
Sebelum ini menerusi laporan Berita Harian, penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu mengakui kesal terhadap apa yang berlaku dan seterusnya berharap insiden tersebut dapat menjadi pengajaran buat anak ketiganya itu untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Allahuakbar, dengan penuh rasa terkilan, saya mengaku itu adalah anak saya. Sebagai ibu, saya cuba yang terbaik untuk mengajar dan membimbing dia mengikut apa yang termampu dalam kapasiti terbatas.
“Tetapi hendak buat macam mana, saya sudah berusaha sehabis baik untuk mendidiknya.
“Saya berdoa semoga dia belajar daripada kesilapan untuk menjadi insan yang lebih baik sekali gus meneruskan kehidupan tanpa perlu menoleh ke belakang… Insya-Allah,” katanya seperti yang dipetik.
Nora sebelum itu ada berkongsi khabar pilu apabila ibu mertuanya, Nora Abdullah telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Rabu.