Intan Liana Perjelas Pertemuan Dengan Izreen Azminda – “Biarlah Masa Yang Memulihkan Segala, Tak Perlu Lagi Mengaitkan Atau Mencalarkan Nama Sesiapa.”

Share

Bekas madu kepada pelakon, Izreen Azminda iaitu Intan Liana Saleh mendedahkan situasi ketika dia dan aktres berkenaan dipertemukan menerusi Melodi Raya, baru-baru ini.

Intan muncul bersama Izreen menerusi segmen Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih, menerusi segmen khas sempena Aidilfitri program hiburan berkenaan.

Intan merupakan bekas isteri kepada pemuzik, Ude Wahid atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid yang kini suami, Izreen.

“Di sini, saya nak memperjelaskan keadaan yang terlihat dalam rakaman Melodi Raya. Pertama, saya menerima jemputan pihak mereka (Melodi Raya) atas dasar professionalisme.

“Saya ada dimaklumkan akan tajuk segmen yang diangkat oleh Melodi Raya iaitu Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih, akan tetapi saya tidak dimaklumkan untuk ditemubual bersama-sama Izreen pada hari tersebut.

“Saya cuma dimaklumkan bahawasanya Izreen akan ada bersama di set Melodi Raya dan saya diletakkan pada meja yang sama tetapi bukan bersebelahan.

“Saya bersetuju untuk keadaan itu, kerana setakat itu sahaja maka tiada masalah pada saya,” jelasnya menerusi satu kenyataan. 

Intan pada masa sama berkata, dia sebelum itu turut bertanya, adakah akan dilakukan sesi untuk bermaaf-maafkan kerana sekiranya ada, dia masih belum bersedia untuk berbuat demikian.

Mengikut pemahaman Intan juga, keberadaanya ke sesi rakaman tersebut hanyalah sekadar jemputan bukan, untuk ditemubual.

“Dan sebelum saya bersetuju, saya ada bertanyakan pada pihak Melodi, adakah akan berlaku sesi bermaafan? kerana seandainya ada, maka saya belum bersedia untuk itu.

“Saya diberitahu tidak akan ada sesi tersebut, dan sekadar datang sebagai jemputan.

“Sebagai orang biasa yang bukan berada dalam dunia hiburan, pemahaman saya adalah sekadar jemputan dan bukan untuk ditemubual.

“Namun keadaan berubah apabila tiba di set rakaman. Saya dimaklumkan kerana perlu mematuhi SOP maka, set berubah, dan saya diminta untuk ditemubual bersama-sama Izreen bagi segmen tersebut.

“Atas dasar profesionalisme dan bagi tidak mahu mengganggu program rakaman yang sedang berjalan, maka saya terima aturan sesi temubual tersebut dalam keadaan tidak bersedia.

“Jadi apa yang terlihat dalam sesi temu bual tersebut adalah secara spontan bagi menjawab soalan yang diajukan,” katanya lagi.

Menyifatkan masing-masing sudah ada kehidupan sendiri, ibu tunggal ini mengakui ia tidak perlu disensasikan kerana dia bukanlah seorang selebriti.

“Buat masa sekarang biarlah keadaan berjalan seperti sediakala yang mana masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Itu lebih baik untuk kedua-dua belah pihak.

“Hal ini pada saya tidak perlu disensasikan mahupun dijadikan ruangan hiburan media kerana ia melibatkan hati dan perasaan, dan saya bukanlah selebriti untuk dijadikan bahan topik.

“Biarlah masa yang memulihkan segalanya. Tak perlu lagi mengaitkan atau mencalarkan nama sesiapapun dengan merujuk hal ini di masa hadapan.

“Saya harap dengan penjelasan ini akan merungkai persoalan yang berkaitan isu tersebut,” katanya.

Intan dan Ude sebelum ini bernikah pada 1 Mac 2013, sebelum bercerai talak satu pada 22 Mac 2018.

Pasangan ini bercerai selepas Ude mengahwini Izreen pada 8 Ogos 2017 pada sebuah majlis tertutup.

Hasil perkongsian hidup, Intan dan Ude dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri, 4.

Published by
MH