Serentak dengan statusnya yang baru saja bergelar suami orang, pelakon Isa Khan melancarkan lagu ciptaannya berjudul Karunia Terhebat khas buat isteri tercinta yang juga pelakon, Nur Risteena Munim pada Jumaat.
Single istimewa tersebut disifatkan sebagai hadiah sempena hari bahagia mereka selepas sah diijab kabulkan.
Secara simboliknya juga, lagu tersebut bercerita tentang wanita yang bertakhta di hati beserta perjalanan kisah cinta mereka berdua.
“Sepenuhnya saya buat untuk Risteena. Its a wedding song sebenarnya,” kata Isa.
Sementara itu, Risteena mengakui dia tahu Isa sedang mencipta sebuah lagu buatnya, namun perkara itu tidak dikongsikan secara terperinci.
“Tahun lalu dia ada cakap tengah tulis lagu untuk saya, ketika itu saya di set penggambaran. Saya tidak tahu bagaimana liriknya, hanya sikit sahaja. Kalau tak silap, Isa mula tulis lagu tersebut sekitar Julai tahun lalu.
“Katanya lagu itu tentang saya dan dia mencari tajuk ketika itu. Lalu saya dapat tahu ia berjudul Karunia Terhebat. Wah, sayalah Karunia Terhebat tu,” seloroh Risteena di samping Isa.
Berkongsi apa perasaan sejurus mendengar lagu tersebut, kakak kepada Ruhainies ini akui menitiskan air mata terharu.
Imbas kembali, pasangan selebriti itu sah suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira 10.40 pagi semalam dan dinikahkan oleh bapa Risteena, Zainul Ilyas Zainul Abidin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dengan mas kahwin RM1,000.
Pada majlis itu, Isa turut menyerahkan wang hantaran RM32,000 sebagai simbolik usia Risteena iaitu 32 tahun.
Sebelum ini, Risteena dan Isa merancang untuk bernikah pada 20 November lalu, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu berikutan penularan pandemik Covid-19.
Pasangan itu juga terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia setelah lima bulan berkenalan.
Muzik video Karunia Terhebat sudah pun boleh ditonton disaluran YouTube mereka.
Foto: Instagram Risteena, Isa Khan