Pendakwah terkenal, Tuan Guru Datuk Ismail Kamus dikhabarkan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Exco Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah akibat serangan jantung, strok ringan dan jangkitan kuman di paru-paru.
“Buat masa ini Tuan Guru masih berada dalam keadaan lemah dan sedang melalui proses rawatan serta pemantauan di ICU, Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia.
Ismail, 72, merupakan pengasas dan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia dan pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei tahun lalu.
Foto : Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia