Keputusan mahkamah pada Selasa lalu telah menolak rayuan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mula menjalani hukuman penjara pada Rabu, Najib juga didenda sebanyak RM210 juta di atas kesalahan tersebut.
Pelbagai reaksi yang diberikan rakyat Malaysia berhubung isu tersebut dan antara yang menarik perhatian sudah tentunya status yang dimuat naik anak tiri Najib iaitu Datin Azrene Ahmad yang juga merupakan isteri kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Azrene berkata dia seorang yang percaya kepada sistem perundangan negara selain berpegang teguh kepada prinsip, seorang pemimpin perlu menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti dan amanah.
“Saya tidak akan bercakap banyak. Sebagai seorang yang percaya kepada sistem perundangan, saya berpegang teguh dengan prinsip jika anda sebagai seorang pemimpin, anda memegang satu amanah dan tanggungjawab yang sangat besar.
“Ia adalah satu beban yang berat untuk dipikul, disertai dengan penuh bermaruah, berintegriti dan perlu dihormati sepanjang masa.
“Bila anda dah melanggar tanggungjawab dan amanah yang diberikan, ia sudah terlambat.
“Anda mungkin kata anda tidak bersalah namun jika bukti sudah jelas dan nyata, anda harus terima akibatnya,” tulis Azrene.
Dalam perkongsian yang sama, Azrene turut menzahirkan perasaan bangga dengan keputusan yang dibuat panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
“Saya bangga dengan panel lima hakim diketuai Yang Arif, Tengku Maimun.
“Mereka menjalankan tugas dengan menilai segala bukti-bukti yang dibentangkan kepada mereka. Keputusan yang diberikan mereka bersama adalah sangat tepat.
“Saya bangga mereka tidak membenarkan mahkamah menjadi suatu tempat boneka dan integriti sistem perundangan serta kehakiman negara masih lagi terlindung dan terpelihara daripada anasir sebegitu,” tulisnya lagi.
Sekadar info, Azrene mendirikan rumah tangga dengan Fazley pada 2007.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 14, Ahmad Fieradz Shah, 13, Ahmad Firudz Shah, 11, dan Alayna Selma, 5 tahun.
Foto: Instagram Datin Azrene Ahmad