Bakal menerima kehadiran anak ketiga tidak lama lagi, pelakon Aeril Zafrel tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.

Apatah lagi, dia dan isteri, pelakon Wawa Zainal menanti kira-kira empat tahun menunggu orang baru dalam keluarga. Lalu jelasnya lagi, persiapan yang dilakukan juga turut berbeza daripada permata hatinya sebelum ini.

“Keterujaan untuk anak ketiga ini berbeza sedikit. Pelbagai persiapan dibuat untuk menyambut kedatangannya. Kali ini, saya baru mengambil satu drama sahaja kerana fokus kepada perniagaan dan keluarga.

“Malah baru-baru ini saya sepatutnya akan mula menjalani penggambaran, namun apabila difikirkan kembali, isteri sedang sarat dan tidak elok pula tinggalkannya. Saya pun tidak dapat tumpukan perhatian padanya jika bekerja,” jelas Aeril jujur.

Masih menyembunyikan jantina anak ketiga, Aeril akui akan berkongsi bila sampai waktunya.

“Jika tidak lelaki, pasti perempuan. Buat masa ini, isteri minta rahsiakan dahulu jantina anak ketiga kami. Dan saya ikutkan sahaja permintaan isteri.

“Persiapan anak ketiga lebih teruja kerana selepas empat tahun baru isteri hamil. Menjaga dua anak ini kita tahu lelahnya bagaimana namun apabila kita cium dan peluk anak, segala kepenatan akan hilang. Saya akan cuba jadi bapa yang terbaik.

“Kalau ikutkan tiga anak tidak cukup. Isteri pernah nyatakan hasrat untuk berhenti mengandung selepas usia 30 tahun,” jelasnya mahu melengkapkan kuota enam orang anak.

Dalam perkembangan lain, Aeril bakal muncul menerusi filem KL Vampire di samping Raja Ilya, Josiah Hogan, Reen Rahim dan Donny Alamsyah.

KL Vampire mengisahkan mengisahkan sekumpulan puntianak yang sudah insaf daripada melakukan kekejaman dan hidup dengan aman bersama manusia di ibu kota.

Namun, kehadiran beberapa puntianak baru diketuai Argus di ibu kota mula mencetuskan huru-hara apabila kumpulan itu mula memburu manusia.

Filem ini bakal berada di pawagam bermula 14 November 2019.