Isteri Rupanya Belum Hamil Anak Sulung, Remy Ishak Jawab Spekulasi – “Tak Ada Isi Lagi, Belum Ada Rezeki.”

Share

Aktor Remy Ishak tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan sesentengah pihak yang meneka bahawa isterinya, Ezza Yusof kini sedang hamil cahaya mata pertama.

Remy berkata, spekulasi tersebut adalah tidak benar dan mereka belum dikurniakan rezeki bakal timang zuriat.

“Hari tu masa orang ramai kecoh-kecoh fasal isteri saya (dakwaan hamil), bila dapat tahu kami tergelak-gelak bila baca balik komen-komen yang ditinggalkan.

“Disebabkan sekeping gambar sahaja, orang terus buat spekulasi. Saya gelak bukan sebab apa, tapi isteri saya ni dia kuat makan jadi perut dia buncit sikit.

“Bila saya cakap (badan berisi), dia kata tidak, bukan fasal perut tapi sebab baju yang dia pakai bersaiz besar.

“Tak ada isi lagi, belum ada rezeki lagi. Jadi tunggu lah nanti kalau ada rezeki mungkin tahun depan, InsyaAllah,” katanya sambil meminta doa yang baik-baik dari semua pihak.

Terdahulu, dakwaan itu timbul susulan sekeping foto yang dimuat naik oleh isterinya di laman media sosial Instagram, baru -baru ini sekaligus membuatkan ramai berteka-teki.

Dalam pada itu, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak berkata dia dan isteri buat masa sekarang tidak terlalu memikirkan soal berkenaan meski tidak menolak rezeki.

“Kami berdua pun sibuk dengan karier masing-masing, macam isteri saya tengah fokus dengan perniagaan dia. Tambahan pula, isteri optimis mahu tingkatkan jualan sempena Ramadan ni dan sebagainya.

“Macam saya pula sibuk dengan penggambaran drama dan beberapa projek khas, jadi kami tidak terfikir ke arah itu lagi setakat ini.

“Tapi bohong lah kalau kata tak ada rasa nak ada anak, sudah semestinya perasaan itu wujud,” katanya lagi.

Remy berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama rantaian terbaru, Jangan Menangis Cinta, pada Isnin.

Menerusi drama berkenaan, Remy digandingkan bersama pelakon Amyra Rosli di dalam siri yang diadatasi novel karya hasilan Siti Rosmizah.

Jangan Menangis Cinta bakal ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot MEGADRAMA, saluran Astro RIA, mulai 21 Mac depan.

Untuk rekod, Remy dan Ezza mendirikan rumah tangga bersama pada 21 Ogos tahun lalu.

Foto: Instagram Remy Ishak

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Nazar Rafiqhi