“Isteri Saya Tukar Agama Bukan Tukar Budaya…,” – Ada Persoal Cara Pantang Isteri, Ryzal Ibrahim Mohon Hormati Maryam

Share

Personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim berharap agar semua pihak dapat menghormati dan memberi ruang buat isterinya, Maryam You Narae untuk menjalani proses berpantang dengan caranya sendiri.

Menurut Ryzal, meskipun isterinya itu sudah pun memeluk agama Islam, namun warisan dan buaya Korea tetap menjadi sebahagian daripada hidupnya.

“Assalamualaikum warahmatullah, Maryam atau nama sebenarnya You Narae, iaitu wanita warga Korea. Isteri saya bukan Melayu, bukan Cina, bukan India dan budaya negara lain tidak diwajibkan untuk dia ikuti.

“Isteri saya peluk Islam atau erti kata lain tukar agama bukan tukar budaya. Jadi, janganlah paksa orang menerima budaya bukan miliknya.

“Setakat ini, Maryam menjalani pantang cara tradisional dengan bertungku, mengurut, mandi herba dan makan makanan pantang dalam pantauan saya dan Confinement Lady yang datang rumah kami. Itu sudah memadai bagi saya dia sanggup ikut walau bukan budaya dia,” tulisnya.

Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh pemilik akaun Youtube DurianKimci TV itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Lantaran itu, Ryzal memohon agar masyarakat di luar sana berhenti memaksa isterinya untuk menerima budaya yang bukan miliknya.

“Kalau budaya pantang Melayu itu wajib untuk semua kaum, adakah orang Islam di Korea, Jepun, Eropah akan kena ikut juga?

“Maryam masuk Islam, bukan masuk kaum. Budaya dan warisan keluarga di Korea masih miliknya walaupun dia seorang Muslimah atau saudara baru.

“Saya minta Hajjah, Makcik, Akak serta semua disini supaya berikan ruang kepada Maryam dan hormat budaya miliknya. Terima kasih dan Selamat Malam,” kongsinya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan yang disuarakan oleh Ryzal selain turut mendoakan agar Maryam sentiasa berada dalam keadaan yang baik sepanjang tempoh berpantang.

“True, cara orang tak sama. Tak perlu paksa orang ikut cara kita. Raikan perbezaan.

“Support sangat. May god bless you and Maryam unnie and baby Rina.

“Lain orang lain cara. Keselesaan masing-masing. Tak perlu sibuk cara urusan orang. Respect sama privacy orang lain,” antara komen-komen netizen di laman Instagram.

Sekadar informasi, Maryam baru sahaja melahirkan cahaya mata sulungnya yang diberi nama, Rina pada 21 Oktober lalu.

Ryzal dan Maryam telah mendirikan rumah tangga mereka pada Ogos 2019.

Sumber: Instagram Ryzal Ibrahim

Published by
Aizam Manaf