Penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) berdepan dengan musibah apabila dia ditimpa kemalangan jatuh basikal beberapa hari lalu.

Ekoran kejadian itu, Azhar terpaksa menjalani pembedahan bagi menyambung tulang lengan pada bahagian atas sikunya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu bagi memulihkan kembali struktur tulang yang patah.

Lantas, netizen mendoakan agar Azhar diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

Dalam pada itu, dua orang sahabat Azhar yang merupakan penceramah dari Acheh, Indonesia iaitu Ustaz Abdul Somad dan Dr. Amri turut menitip ucapan buat Azhar.

“Saya kini bersama Dr. Amri, iaitu seorang Doktor Akidah Falsafah dari Universiti Al-Azhar. Ustaz Amri dari Acheh. 

“Kita dapat khabar bahawa sahabat kita iaitu Ustaz Azhar dari Terengganu, Malaysia sakit.

“Jadi mari sama-sama kita doakan untuknya,” doa mereka. 

Ucapan dan doa dari Ustadz Abdul Somad agar Ustaz Azhar Idrus kembali sihat.- Admin

Posted by Ustaz Azhar Idrus ( Original ) on Tuesday, November 5, 2019

Sehingga kini, video tersebut telah mendapat hampir 800 perkongsian, 300 komen dan 5,000 respon terhadap perkongsian video tersebut.

Sementara itu, isteri Azhar iaitu Rogayah Sulong reda dengan ujian Yang Maha Esa ekoran kejadian yang menimpa suaminya.

“Assalamualaikum…
Terima kasih pada semua yang mendoakan ustaz.

“InsyaAllah pagi ini ustaz akan menjalani pembedahan di bahagian siku. Sama sama kita doakan agar dipermudahkan urusan ini.

“Buat masa ini doktor sarankan ustaz berehat sepenuhnya dan tidak menerima sebarang kunjungan untuk menziarahi sehingga keadaan mengizinkan.

“Semua kuliah ustaz ditangguhkan sehingga diberitahu kemudian. Moga Allah beri kesembuhan kpd ustaz dgn sebaik2 kesembuhan.Insya Allah,” tulisnya di Facebook. 

Difahamkan, basikal yang ditunggang Azhar tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terpelanting ketika menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar Kuala Terengganu pada 4 November lalu.

Foto: Facebook UAI, Ustadz Abdul Somad, Rogayah Sulong