Selepas lebih sebulan video lelaki bogel yang didakwa mirip Aiman Tino viral di laman sosial, penyanyi Ku Rela Dibenci itu menyelar sesetengah pihak kerana sekali lagi terpalit kontroversi berikutan sebuah rakaman video kedua miripnya pula mulai tersebar.
Difahamkan, video kedua yang dipercayai susulan kepada video yang pernah diperkatakan itu mulai dikongsikan sesama pengguna media sosial sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, Aiman ketika ditemui pada majlis pelancaran Bazaar Raya 2019 Kuala Lumpur di PWTC, menafikan lelaki berkenaan adalah dirinya.
Malah, bintang remaja ini turut menyelar pihak yang terus mengaitkan dirinya dengan rakaman video tak senonoh berkenaan, hingga boleh menjejaskan reputasi.
“Netizen tidak akan puas untuk menyebarkan perkara yang tidak betul. Sejujurnya, saya sudah malas untuk mengambil pusing tentang hal ini.
“Saya anggap hal ini sebagai isu bodoh dan saya tidak akan buat perkara sebegini.
“Kalau perkara ini terus berlarutan, saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya yang mengakui masih belum melihat video yang dimaksudkan.
Mengulas mengenai baju yang dipakai lelaki dalam video berkenaan mirip baju miliknya pula, Aiman menambah, dia juga membeli-belah di butik-butik popular sama seperti orang lain.
“Seperti orang lain, saya juga membeli baju di H&M dan Cotton on misalnya. Jadi, tidak hairan jika baju saya itu sama dengan orang lain,” jelasnya kepada MH.
Foto: Sumber Twitter