Kemelut rumah tangga yang dilalui hingga berlakunya perceraian bersama isteri pada Februari tahun lalu membuatkan Daus Eli berasa depresi.
Ditambah pula apabila netizen tidak berhenti melemparkan pelbagai kata-kata nista seolah-olah mengetahui apa yang berlaku di sebalik kehidupan perkahwinan yang dibina sejak 2013 itu.
Lalu Daus yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 8 (AF8) berkata, disebabkan tidak sanggup lagi berdepan dengan persepsi negatif segelintir pihak, dia pernah berasa seperti tidak mahu lagi hidup di dunia ini.
“Saya tak minta pun semua ini terjadi pada diri saya. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Ketika saya berada dalam depresi, pernah terdetik tak nak hidup lagi di dunia ini.
“Tapi, saya bersyukur ada ibu bapa, adik beradik dan keluarga yang memberi sokongan. Malah, disebabkan semangat yang diberikan mereka membuatkan saya bangkit semula untuk meneruskan kerjaya dalam bidang muzik.”
“Apatah lagi minat dalam muzik tak pernah lupus. Alhamdulillah, sekarang saya sudah 10 tahun dalam industri,” katanya.
Enggan lagi menoleh ke belakang, Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli muncul dengan single berjudul Takdir Kita.
Single terbitan syarikat rakaman Nova Music yang dilancarkan pada 28 Ogos lalu itu merupakan ciptaan sepenuhnya bintang ini.
Menurutnya, lagu tersebut merupakan luahan isi hatinya mengenai apa yang dilalui sepanjang hampir dua tahun bergelut dalam masalah rumah tangga bersama bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan.
“Lagu ini mengenai lelaki yang mengharapkan sesuatu daripada wanita yang pernah dicintai suatu ketika dahulu. Sebenarnya, lagu ini berkaitan dengan bekas isteri saya. Ia dibuat dua tahun lepas sebelum saya bercerai.”
“Ketika itu saya sudah depresi, tak ada semangat dan kecewa. Jadi, saya buat lagu ini mengikut ‘mood’ ketika itu. Sewaktu melancarkan single ketiga, kami masih lagi bahagia.
“Cuma dalam tempoh dua tahun itu sudah ada masalah sikit. Isu cerai tak habis lagi, netizen pula hentam kononnya saya ceraikan isteri semasa dalam pantang. Jadi berlakulah konflik.”
“Lagu ini memang dibuat untuk dia. Tapi jodoh kami tak lama. Bagi saya, sekarang ini reda saja atas ketentuan Allah.
“Apa saja berlaku, janji saya tak lupa anak-anak. Pendek kata lagu ini, luahan hati saya,” katanya yang turut mencari sumber rezeki dengan berbisnes.
Menariknya, lagu tersebut juga turut dipilih menjadi lagu tema bagi drama Aku Yang Kau Gelar Isteri yang bakal ditayangkan di slot Samarinda, TV3 tidak lama lagi.
Drama terbitan Tanah Beris Film Production itu menampilkan barisan pelakon seperti Nelydia Senrose, Nadia Brian, Atiq Azman dan Raja Afiq.
“Alhamdulillah, ini satu pencapaian tersendiri buat lagu ini. Bukan mudah sebenarnya sesebuah lagu itu dipilih menjadilagu tema drama. Saya anggap ia rezeki dan promosi buat lagu ini.
“Diharap, lagu ini akan dapat pergi lebih jauh lagi. Sudah semestinya saya juga meletakkan harapan untuk melihat laguini berjaya macam lagu orang lain.
“Apabila drama ini ditayangkan kelak, penonton akan dapat mendengar dan menghayati bait-bait dan mesej yang ingindisampaikan pada lirik lagu ini,” katanya panjang lebar,
Takdir kita jga kini sudah boleh distrim menerusi semua platform muzikdigital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KK Box, YouTube Music dan iTunes.