Pengasas produk Skin Dessert, Zirra Abdullah mendakwa jualan produk hasilan mereka terjejas dan turun sehingga 60 peratus susulan terkait isu melibatkan foto yang dimuat naik di hadapan pejabat Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sekaligus menimbulkan kontroversi, baru-baru ini.
Zira telah memuat sekeping foto dia bersama suami, Mohd Aliff Abd Kadir pada 4 Oktober lalu di hadapan pejabat SIRIM dengan kenyataan gambar mengatakan salah satu produknya Skin Desert Repairing Moisturiser sedang dalam proses menjalankan ujian produk.
Bagaimanapun, SIRIM menerusi akaun rasmi media sosial mereka membalas dengan memaklumkan SIRIM Berhad tidak pernah menjalankan sebarang pengujian terhadap produk keluaran mereka.
Selain jualan terjejas, isu itu menurut Zirra turut memberi kesan kepada emosinya.
“Dalam tempoh lebih kurang dua bulan ini, bermula kontroversi hangat diperkatakan sehingga kini, jualan yang selalunya boleh mencecah jutaan ringgit tidak lagi berlaku.
“Selain itu, saya menerima segala kecaman netizen serta mesej ugutan. Paling teruk, ada yang mahu mengancam keselamatan kami,” kata Zirra.
Susulan itu, jenama berkenaan mahu mengemukakan tindakan undang-undang terhadap SIRIM setelah komen berkenaan memberi kesan buruk terhadap bisnes yang dijalankan.
Menurut peguam mewakili mereka, Nur Nazuha Zohor Ali dari Tetuan Raidah Nazuha Law Chambers, kenyataan yang dibuat SIRIM menimbulkan keraguan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar yang terjadi kepada umum.
“Komen SIRIM itu jelas bertentangan memandangkan pihak kami sudah membuat permohonan pengujian produk dan menghantar sampel produk kepada SIRIM pada 8 September 2022.
“Tindakan itu berpotensi menimbulkan fitnah yang merosakkan reputasi, integriti dan kebolehpercayaan awam secara umum oleh stokis, ejen serta pengguna terhadap jenama ini.
“Kenyataan agensi itu menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi jenama ini ada agenda tersembunyi dan ia tidak boleh dipercayai,” jelasnya.
Nazuha menambah, pihaknya masih memberi peluang kepada SIRIM untuk menjelaskan semua tuntutan yang dikemukakan.
Ia berhubung dengan situasi pihak peguam yang mewakili institut itu masih dalam proses menunggu arahan lanjut dan jawapan SIRIM berhubung tuntutan Skin Dessert seperti dimaklumkan menerusi surat bertarikh 14 Disember 2022.
“Penjelasan semula SIRIM adalah penting memandangkan komen yang dibuat SIRIM di media sosial Zirra adalah kenyataan berniat yang tidak menggambarkan situasi sebenar kepada umum,” katanya lagi.
Zirra dalam pada itu berkata, isu berkenaan turut memberi kesan terhadap ejen dan stokis.
“Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf kepada semua ejen serta stokis jika isu-isu yang melanda ini memberi impak negatif kepada mereka.
“Sepanjang tempoh isu ini mula tular, kami tidak membuat sebarang kenyataan kerana ingin menyelesaikan secara dalaman terlebih dahulu.
“Pada saya, ejen dan stokis inilah tulang belakang kepada kekuatan Skin Dessert selama ini. Tanpa mereka, belum tentu kami dapat mencapai sasaran jualan yang memberangsangkan dan mampu memberi semula imbuhan kepada mereka,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik Di Sini