Isu Dengan Stesen TV Selesai, Atu Zero Nafi Makin Demand Soal Bayaran

Share

Pelakon dan pelawak, Atu Zero memaklumkan urusan pembayaran melibatkan dirinya dengan sebuah stesen televisyen yang hangat diperkatakan sebelum ini telah pun diselesaikan dengan cara yang baik.

Jelas Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, dia telah hadir ke pejabat stesen televisyen berkenaan untuk mengambil bayarannya yang dikatakan telah beberapa bulan tertangguh.

“Hal tersebut sudah selesai. Duit daripada job tersebut pun sudah habis digunakan untuk selesaikan segala jenis komitmen.

“Dua-dua pihak sudah capai kata sepakat dan tiada masalah diantara kami lagi. Kalau ada rezeki, kita boleh bekerjasama semula tapi kalau tiada, tak mengapa,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, anggota kumpulan lawak Zero ini turut memberitahu, dia sebolehnya tidak mahu memanjangkan lagi isu ini memandangkan segalanya telah pun diselesaikan.

“Kalau ada salah faham, itu mungkin dari segi hal kerja sahaja. Kalau berjumpa sebagai kawan di luar, saya akan sentiasa okay dan profesional.

“Kalau boleh, saya nak cari ramai kawan bukannya lawan. Industri ini kecil sahaja, pusing-pusing ke mana pun, kita akan jumpa orang yang sama juga,” ujarnya lagi.

Pelawak asal Sabah itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Muzika Lawak Nusantara yang berlangsung di The Royale Chulan, The Curve, Mutiara Damansara, Selangor pada Rabu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah dia kini lebih cerewet dalam soal bayaran, Atu memaklumkan segalanya haruslah setimpal dengan skop kerja yang akan dilakukannya

“Kalau ada yang kata saya demand, saya tak boleh nak halang. Demand itu bergantung kepada apa yang saya perlu buat. Kalau dari segi kerja, mungkin saya akan demand jika pekerjaan itu memerlukan saya ke set penggambaran yang agak jauh sehingga perlu outstation.

“Saya hanya akan demand dari segi minyak kereta dan tol. Saya tidak akan menerima tawaran kalau bayarannya banyak tapi komitmen saya kecil atau terlalu mudah. Saya akan rasa tak selesa.

“Sebolehnya saya mahu bayaran itu berbaloi dengan kepakaran kerja saya. Kita sekarang ini bermain dengan duit dan amanah orang. Duit gaji kita ini amanah.

“Saya akan tengok juga pada kemampuan sesebuah rumah produksi juga. Kalau mereka punyai nama dan berpengalaman, kenapa tidak saya meminta bayaran yang sedikit lebih kerana mereka ada kemampuan,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, pelakon filem, Sumpahan Malam Raya ini juga mendedahkan dirinya tetap bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana produk walaupun bayaran tidak terlalu besar.

“Bukan nak kata saya selalu buat kerja percuma tapi ada juga yang saya rela untuk tidak menerima bayaran contohnya untuk review atau video pendek tentang sesebuah produk atau restoran.

“Kalau kebetulan saya dekat sesebuah lokasi itu, tak bayar pun tak mengapa. Jadi, saya hanya menerima bayaran yang setimpal,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf