Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias memfailkan saman ke atas penyanyi Lan Solo, Syura serta tiga individu atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram.
Memetik Bernama, Siti Nordiana atau turut disapa Nana, 37, memfailkan saman berkenaan menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu dan menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isteri Lan iaitu Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan.
Pernyataan tuntutan Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai lepas kira-kira 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
“Siaran langsung berdurasi lebih kurang satu jam 28 minit itu telah ditonton oleh para pengikut defendan-defendan dan orang ramai yang mengikutinya,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Pada masa sama, Nana yang juga Juara Gegar Vaganza musim kedua itu mendakwa, kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.
Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun YouTube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.
Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, beliau melalui peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan bertarikh 26 Julai lepas melalui serahan tangan dan e-mel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.
Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.
Beliau turut menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Peguam Abang Azlan Abang Ariffin, yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi Bernama, berkata tuntutan saman itu telah diserahkan secara Akuan Terima dan e-mel kepada kelima-lima defendan hari ini.
“Mahkamah telah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 9 Ogos ini secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan,” katanya.
Sementara itu menerusi Kosmo! Online, peguam mewakili lima defendan terbabit, Alan Razak dari Tetuan Azlan Razak & Associates mengesahkan pihaknya telah menerima writ saman tersebut daripada pihak plaintif (Siti Nordiana).
“Saya mengesahkan kesemua anak guam menerima writ saman dan pernyataan tuntutan daripada peguam cara plaintif (Siti Nordiana) semalam.
“Melalui sesi pada 9 Ogos depan, mahkamah akan meminta peguam-peguam untuk kenal pasti kebarangkalian untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah tanpa perlu melalui perbicaraan penuh,”katanya seperti yang dipetik.
Dalam kenyataan sama, Alan turut memngesahkan Siti Nordiana juga menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan menerusi pernyataan tuntutan tersebut.
Terdahulu, pelakon drama Dia Semanis Honey itu menuntut lima individu yang dimaksudkan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam serta membayar RM200,000 setiap seorang kepadanya.
Namun, kelima-lima individu itu gagal berbuat demikian pada tempoh yang diberikan.
Sumber, Foto: Bernama & Kosmo! Online, Instagram Siti Nordiana