Isu Fitnah ‘Mak Esah’: Misha Omar Terima Permohonan Maaf, Masih Cari Satu Pemilik Akaun

Share

Penyanyi Misha Omar meluahkan rasa lega apabila isu fitnah melibatkannya pada malam kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke-33 lalu sudah selesai apabila dua individu iaitu Ahmad Azhar Azizi, 27, dan Fairuz Azwan, 32, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat sebagai menepati syarat penyanyi Sampai Bila itu yang memberi tempoh selama tujuh hari untuk menyatakan permohonan maaf, bermula sesi sidang media terdahulu yang dilakukan Jumaat lalu.

“Saya rasa lega kerana dua invididu yang dimaksudkan menjadi ‘hero’ pada hari ini kerana berani tampil mengakui kesilapan. Saya anggap perkara ini sudah pun selesai.

“Bagaimanapun, ada seorang pengguna media sosial yang masih belum tampil menyatakan permohonan maaf. Cuma pemilik akaun tersebut saya difahamkan sudah pun memadam akaun berkenaan.

“Setakat ini, pihak kami ada berbincang untuk membuat laporan polis terhadap pemilik akaun tersebut secara berasingan, memandangkan akaun berkenaan merupakan pencetus kepada insiden yang berlaku,” jelas penyanyi berusia 35 tahun ini lagi.

Ditanya apakah rasionalnya permohonan maaf yang telah dilakukan dua individu itu, Misha mengakui tidak lagi rasa terbeban selain mengharapkan rakan selebriti yang turut terpalit dengan fitnah melampau supaya tampil ke depan.

“Rasa beban itu sudah hilang dan saya berharap agar dapat meneruskan jadual seni saya dengan tenang. Malah, bagi saya kalau ada sesuatu yang berlaku terhadap mana-mana selebriti, usah memberi reaksi di media sosial.

“Sebaliknya cuba serahkan kepada mereka yang lebih pakar sekiranya perlu kerana secara tidak langsung ia boleh menjernihkan keadaan secara lebih baik,” katanya yang turut menekankan, apa yang dilakukan hari ini bukan bertujuan untuk mengaibkan sesiapa.

 

Published by
Rafiq Mazlan