Mendapat perhatian ramai disebabkan tubuh badan sasanya, anggota kumpulan K-Clique, Noki mengakui sering menerima kiriman mesej serta gambar-gambar tidak senonoh menerusi laman sosial miliknya.
Noki atau nama sebenar, Ahmad Ikhwan Aji, 28, berkata hal itu sudah menjadi perkara biasa buat dirinya malah turut mendedahkan kaum lelaki lebih banyak menghantar komen-komen serta gambar ‘nakal’ berbanding kaum wanita.
“Memang saya dapat banyak komen-komen sebegitu tapi saya baca sahajalah, macam-macam mereka hantar, ada gambar (tidak senonoh).
“Jujur cakap kebanyakannya adalah daripada lelaki, perempuan pun ada tapi lebih kepada lelaki,” katanya kepada MH.
Noki ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu penyanyi Bil Musa feat Noki berjudul Pantang di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya pada Rabu.
Walaupun berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan sebegitu, namun Noki berkata dia tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya menyifatkan apa yang berlaku itu adalah disebabkan oleh tindakannya sendiri.
“Saya tahu saya tak boleh salahkan mereka kerana mereka start berani disebabkan tindakan saya sendiri juga.
“Saya sendiri yang post gambar saya belanja badan, jadi saya nak expect orang tak bercakap pasal tu, mana boleh.
“Tapi saya tak sekat mereka, sebaliknya hanya delete sahaja semua komen-komen tersebut,” katanya lagi.
Sementara itu, bercakap mengenai single Pantang, Noki berkata dia terbuka bekerjasama untuk projek ini kerana lagu tersebut mempunyai kelainan tersendiri berbanding naskhah lagu lain yang pernah dibawakannya sebelum ini.
“Lagu Pantang ini sangat berlainan dengan lagu-lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini, kira genre dia lain sedikit.
“Saya nak cabar diri, bawa new track, tengok dia jadi macam mana,” katanya.
Pantang merupakan hasil ciptaan komposer Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan John Jeeves.
Lagu Pantang sudah boleh didapati di semua platform penstriman muzik sejak 21 Oktober lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.