Pengacara dan usahawan popular, Noor Neelofa memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu kontroversi berkaitan grafik bergambar menerusi salah satu produk yang diusahakannya, baru-baru ini.
Menurut Neelofa, pihak nilofagroup sendiri sudah pun memberi kenyataan dan memohon maaf susulan hantaran yang dimuat naik menerusi media sosial itu.
“Pihak jenama dah mengeluarkan permohonan maaf, saya rasa isu itu dah ada titik noktah. Kita bergerak ke fasa seterusnya.
“Penjelasan lanjut tak diperlukan kerana cerita akan jadi panjang. Kita akui apa yang perlu, perkara selanjutnya pun telah dibuat,” katanya.
Neelofa ditemui di majlis pelancaran Nunha Store di pusat membeli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Isteri kepada pendakwah Haris Ismail atau PU Riz itu turut menjelaskan, kontroversi terbabit sudah tentu memberikan pengajaran.
“Ya, benar. Memang ada pengajaran namun saya tiada ulasan lain,” katanya lagi.
Sementara itu, Haris turut tidak mahu memberikan komen terhadap isu terbabit.
“Mungkin kita ke soalan yang lebih menarik, seperti sambutan hari lahir pertama anak kedua kami semalam,” katanya berseloroh.
Terdahulu, perkongsian iklan produk Isterix keluaran nilofagroup mengundang kecaman warganet yang mendakwa hantaran yang dikongsikan mempunyai unsur lucah dan boleh mencetuskan salah faham terhadap grafik gambar yang digunakan.
Ini kerana, ia memaparkan beberapa foto objek yang seakan-akan menyerupai bahagian alat sulit wanita bertujuan mempromosikan produk mengeratkan hubungan suami isteri.
Netizen turut memberi pandangan iklan yang dipamerkan di laman sosial itu kurang sesuai dengan penampilan Neelofa yang berhijab dan berpurdah.
Susulan kontroversi yang berlaku, pihak jenama terbabit memuat naik kenyataan permohonan maaf di platform laman sosial mereka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini