Pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim dikatakan sudah pun selamat diijabkabulkan dengan aktres Mona Allen atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen.
Pasangan selebriti itu dilaporkan sudah pun bernikah pada pagi Jumaat lalu.
Difahamkan, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim,37, sah bergelar suami Mona,28, di dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan beberapa rakan artis.
Khabar angin mengenai pernikahan mereka mulai tular sejak awal semalam. Malah, ada rakan artis yang turut memberikan ucapan tahniah buat pasangan berkenaan seperti Amyza Aznan.
Malah, dikatakan pelakon Wan Nor Azlin turut berkongsi beberapa keping foto mereka di instagram.
“Alhamdulillah selamat sudah pagi semalam (Jumaat), mereka ada jemput tapi saya tidak dapat datang ada penggambaran. Mereka buat secara tertutup untuk rakan terdekat sahaja,” ujar Amyza seperti yang dipetik mStar Online.
Pelakon tersebut turut mendapat jemputan bagaimanapun tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen penggambaran.
Ditanya sejak bila pasangan tersebut menjalinkan hubungan cinta, Amyza seperti yang dilaporkan memberitahu sudah lama mereka bercinta, sebelum terlibat dalam penggambaran drama rantaian, Monalisa lagi.
“Lama juga, masa kami terlibat penggambaran Monalisa, Mona sudah bercinta dengan Pekin,” ujarnya.
Terdahulu, usaha untuk mendapatkan penjelasan Pekin dan Mona tidak berjaya apabila pasangan ini tidak menjawab sebarang panggilan dan mesej.
Mona bagaimanapun sempat berkongsi di Instagram yang seakan-akan mengiyakan dirinya bakal melangkah ke alam perkahwinan, semalam.