Anggota kumpulan nasyid UNIC, Fakhrul menjelaskan sebab utama UNIC menggunakan bahasa Arab santai di dalam lagu Deen Assalam adalah untuk meraikan semua pihak.
Katanya, sekiranya UNIC menggunakan 100 peratus bahasa Arab asli, kemungkinan orang ramai tidak akan berminat untuk mendengar lagu serta mempelajari bahasa tersebut.
Kenyataan tersebut dibuat susulan terdapat segelintir pihak yang mendakwa UNIC seperti tidak menghormati bahasa tersebut.
“Untuk mendekati masyarakat kita, UNIC telah banyak turun di lapangan dakwah daripada masjid sehinggalah golongan mat rempit. Jadi pendekatan yang kita nampak adalah kita harus raikan semua pihak.
“Ini adalah lagu cover dan hak cipta adalah milik penyanyi asal. Kami tak boleh ubah sesuka hati. Kita cuba santaikan lagu ini supaya orang tidak berfikir bahasa arab ini susah.
“Jadi, kalau kita tekankan sangat soal tatabahasa ini atau guna bahasa buku, orang yang tak pernah dengar lagu Arab mungkin akan lari,” katanya ketika ditemui di program Malaysia Quran Hour 2018.
Ditanya pula mengenai senario remaja masa kini dalam mendalami ilmu Al-Quran, ini jawapan yang diberikan Fakhrul;
“Sebenarnya kesedaran itu sudah banyak tetapi harus dipergiatkan lagi bukan sahaja daripada golongan guru Quran atau imam-imam tetapi semua pihak harus memainkan peranan.
“Pendekatan yang digunakan haruslah berbeza supaya kita dapat memupuk generasi muda ini untuk menjadikan Al-Quran sebagai hiburan bagi mereka.
Terdahulu, majlis perdana Malaysian Quran Hour 2018 telah berlansung dengan jayanya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang turut dihadiri Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Mazlee Malik.