Pelakon dan usahawan, Fizo Omar memberitahu buat masa ini, dia belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan yang mengatakan dia dan isterinya Mawar Abdul Karim ada mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga.
“Maaf, saya tidak menjawab panggilan dan membalas mesej. Saya bukannya lari, tetapi belum bersedia memberikan apa-apa kenyataan, buat masa ini.
“Saya faham kerjaya wartawan, namun ini bukanlah masa yang sesuai mengeluarkan kenyataan. Doa yang baik-baik buat saya dan Mawar,” katanya seperti yang dipetik.
Memetik BH Online lagi, sebelum ini ada sumber mendakwa, isterinya sudah pun menemui peguam, bagi mendapatkan nasihat.
Terdahulu, teka-teki mengenai konflik rumah tangga pasangan tersebut mulai menjadi perhatian pengguna media sosial apabila keduanya menyambut Aidilfitri secara berasingan.
Aktor berusia 34 tahun itu meraikan Syawal di Kelantan sementara isteri dan anaknya pula sambut lebaran di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, mereka sepatutnya meraikan Aidilfitri di Kota Bharu, Kelantan. Namun, Mawar dan anaknya dikatakan terpaksa pulang ke Pulau Pinang apabila bapa ibu kepada seorang cahaya mata itu jatuh sakit.
Untuk rekod, pasangan sama cantik sama padan ini mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013.
Pasangan ini menerima kehadiran cahaya mata pertama mereka tanggal 29 Disember 2017.
Foto/Sumber: Instagram Fizo Omar/BH Online