Relak atas apa yang berlaku, pendatang baru Farhan Asri mengakui tidak ambil hati apabila wajahnya tidak terpapar di skrin ketika kategori memperkenalkan calon Top 20 Artis Baharu Lelaki Popular diumumkan di Anugerah Bintang Popular ke-33 (ABP33), Jumaat lalu.
Farhan menjelaskan, perkara tersebut mungkin terdapat kesilapan teknikal sehingga wajahnya tertukar dengan individu lain pada acara yang bersiaran secara langsung di TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil itu.
“Saya tidak kecewa atau ambil hati pun. Saya anggap mungkin ada masalah teknikal yang berlaku sehingga wajah saya tertukar dengan individu lain di skrin.
“Saya akui banyak menerima mesej peribadi daripada peminat yang bertanyakan mengenai perkara ini. Namun tiada apa yang mampu saya katakan. Saya okey saja.
“Saya hanya ingin berterima kasih kepada peminat yang sudah undi ketika proses undian berlangsung.
”Tercalon Top 20 untuk kategori Artis Baharu Lelaki Popular pun dianggap hadiah bermakna untuk saya sepanjang tiga tahun bergiat aktif dalam dunia lakonan,” katanya.
Terdahulu, seorang pemilik akaun di Twitter dikenali sebagai Wafiy Rosli mengakui terkejut apabila wajahnya tersenarai sebagai Artis Baharu Lelaki Popular meskipun dia bukan pelakon.
Perkara tersebut menjadi perhatian seterusnya menerima reaksi pelbagai wargamaya.
Menurutnya lagi, meski tidak ada rezeki untuk merangkul trofi bagi kategori berkenaan, bintang muda ini bagaimanapun sudah cukup rasa bangga apabila pihak penganjur mencalonkan namanya untuk kategori terbabit.
“Tuhan sebaik-baik perancang. Allah menyusun hidup manusia dengan aturan yang cukup sempurna dan terbaik.
“Saya percaya belum tiba rezeki saya untuk menang sebarang anugerah. Namun saya bersyukur ABP33 melihat bakat seni seperti saya yang masih baru ini.
“Bukan sebuah trofi yang saya kejar ketika ini, tapi saya optimis untuk terus aktif berlakon supaya saya dapat berkongsi bakat lakonan yang dimiliki ini. Semoga kehadiran saya ini akan terus diterima baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Farhan bakal muncul menerusi sebuah drama bersiri berjudul Menantu Tok Sintok dan kini sibuk menjalani penggambaran drama terbaru, Baby Tak Gila.
ABP33 menyaksikan kemenangan penyanyi Haqiem Rusli sebagai Bintang Paling Popular dengan meraih lebih 22 juta undian.