Pelakon dan pengacara, Janna Nick menjelaskan dia tidak mempunyai niat untuk melakukan konten ‘double meaning’ atau berbaur lucah bersama suaminya yang juga pelakon, Dini Schatzmann, baru-baru ini.
Menurut Janna, perkataan ‘besar’ dan ‘keras’ yang disebutkan di dalam video itu memang merujuk kepada pemilihan kacang botol dan tidak mempunyai maksud yang lain.
“Jika anda lihat dari sudut positif, ia akan jadi positif. Begitu juga sebaliknya. Dalam video itu, saya bercakap tentang kacang botol. Saya bagitahu, jangan ambil yang keras dan besar.
“Itu perkara betul. Kita kena ambil yang lembut dan mudah untuk dipatahkan. Orang luar yang fikir benda itu salah tapi saya cakap perkara fakta.
“Kena tengoklah dahulu apa intipati video tersebut,” katanya kepada MH.
Bekas hos Melodi itu berkata sedemikian ketika ditemui di karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), pada Ahad.
Bagaimanapun, Janna tetap berlapang dada dan menerima teguran netizen dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam pemilihan katanya ketika merakamkan konten selepas ini.
“Mungkin kami terlalu selesa. Saya akui mungkin ada kelemahan daripada pihak saya sendiri. Saya akan cuba perbaiki pada masa akan datang.
“Terima kasih diatas teguran itu. Insha-Allah kami akan kongsikan lebih banyak konten-konten bermanfaat, positif dan buat semua orang gembira,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, ada kalanya perbualan dia dan suami menjadi terlalu selesa sehingga menyebab dia terlupa video tersebut akan ditonton oleh ramai pihak.
“Bila melibatkan perbualan diantara suami dan isteri, ada perkara yang terlepas dan tidak sengaja kita perkatakan. Saya pula ingat perkara itu normal.
“Namun, pendapat orang lain berbeza. Sejujurnya kami tiada niat untuk menimbulkan sebarang isu atau perkara yang tidak baik,” akhirinya.
Terdahulu, Janna dan Dini menerima kecaman apabila dikatakan sengaja menggunakan dialog yang berunsur lucah atau kurang sensitif dalam sebuah video di TikTok.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini