Isu Viral Sajat : “Sebagai Kakak Saya Rasa Kecewa…,” – Ifa Raziah Hiba, Harap Rakan Kembali Ke Pangkal Jalan

Share

Penyanyi dan usahawan, Ifa Raziah mendoakan yang terbaik buat sahabatnya, Muhammad Sajjad atau Nur Sajat berikutan isu tular melibatkan dirinya, baru-baru ini.

Menurut Ifa, apa yang berlaku merupakan satu hal peribadi tetapi ia harus dipandang serius.

“Bagi saya itu isu peribadi dan dalam hidup ini kita ada pilihan hidup. Pada masa sama, kita turut boleh memilih, akal yang ada untuk berfikir. Kita ada agama, ada ibu ayah atau orang sekeliling yang kita boleh tanyakan.

“Jadi kalau kita dalam masa kesusahan, kejatuhan, diaibkan atau diihina, kepada siapa yang kita nak  luahkan untuk mengadu?

“Sudah semestinya hanya pada Allah SWT sahaja sebab Dia sahaja yang mampu mengubah segalanya,” katanya kepada MH.

Di samping meluahkan rasa kesal dan sedih atas tindakan penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu, Ifa turut mendoakan agar rakannya itu kembali ke pangkal jalan.

“Tetapi kalau inilah jalan yang dipilih, sebagai seorang kawan atau kakak saya rasa sangat kecewa dan sedih.

“Bohong kalau saya kata emosi saya rasa tak terganggu dengan keputusan dia yang mungkin dia fikir untuk viralkan sahaja.

“Akan tetapi kita ni manusia yang tidak dapat lari daripada membuat kesilapan, tapi kita boleh belajar daripada kesilapan. Jadi saya harap dan doakan Sajat kembali ke pangkal jalan. Itu doa saya untuk awak,” akhiri Ifa.

Media sebelum ini melaporkan, Sajat kini diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas dikenakan waran tangkap tanpa jaminan kerana gagal hadir ke mahkamah pada sebutan semula kesnya, minggu lalu.

Sejak itu, dia gagal dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung pelbagai kontroversi yang terpalit atas dirinya.

Terkini, tular sebuah video yang memaparkan pengakuan usahawan berusia 36 tahun itu seolah-oleh berniat menukar agama.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh video itu dimuat naik sama ada ia video baharu atau lama.

Video berdurasi 1 minit 48 saat tular di media sosial memaparkan luahannya yang seakan-akan mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan orang di sekeliling termasuk dengan apa yang berlaku kepadanya.

Ia terus mencetuskan kontroversi sehingga beberapa pendakwah memberikan pandangan mereka terhadap perkara terbabit.

Published by
Nazar Rafiqhi