Menginjak usia 33 tahun, pelakon Isyariana mengakui ada terfikir untuk mendirikan rumah tangga namun ia bukanlah fokus utama buat dirinya pada ketika ini.
Menurut Isyariana atau nama sebenar, Isyariana Che Azmi, 33, kegagalan rumah tangga ibu bapanya sedikit sebanyak memberi kesan buat dirinya yang mana dia melihat sendiri keadaan ibunya yang bangkit selepas melalui situasi tersebut.
“Saya percaya jodoh itu ada dan tidak menolaknya, kalau memang Tuhan sudah tetapkan dia, mungkin hati saya akan senang.
“Saya memang berdoa supaya tidak dipertemukan dengan seseorang yang bukan untuk saya. Kalau boleh saya tidak mahu berhadapan dengan penceraian tetapi perancangan Tuhan, siapa yang tahu,” katanya kepada MH.
Isyariana ditemui pada majlis sidang media dan tayangan episod pertama drama terbaharu lakonannya, Isteri Halal yang diadakan di Z Botanica by Nicksman, One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Isyariana berkata dia tidak serik untuk bercinta sebaliknya mempunyai ‘trust issue’ yang mana menyebabkan mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya pasti akan berlalu pergi sebelum hubungan mereka melangkah ke fasa seterusnya.
“Saya masih belum berkahwin bukan disebabkan takut teraniaya atau sebagainya. Cuma, mungkin saya sudah selesa dengan keadaan seperti sekarang ini.
“Tapi, masalah sebenarnya adalah saya susah hendak mempercayai seseorang lelaki itu. Kadang-kadang saya terpaksa mengambil masa lama untuk mengenalinya.
“Sehingga membuatkan dia rasa bosan dan berfikir saya tiada usaha untuk ke fasa seterusnya… jadi, akhirnya dia pun pergi,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai ciri-ciri lelaki idamannya, Isyariana berkata dia mengimpikan jejaka yang bukan berlatar belakangkan industri hiburan selain si dia mestilah seorang yang tidak banyak bercakap.
“Saya mahu yang pendiam. Saya suka orang yang hanya bercakap perkara penting sahaja. Biar saya sahaja banyak bercakap.
“Selain itu, kalau boleh saya mahu elakkan individu yang bergelar selebriti,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai wataknya dalam Isteri Halal, Isyariana berkata dia teruja apabila pertama kali dapat bekerjasama di bawah syarikat produksi Radius One.
Menariknya, jalan cerita yang dibawakan drama itu mengetengahkan isteri teraniya yang cuba bangkit daripada suami yang berlaku curang terhadapnya.
“Ini merupakan kali pertama saya berlakon di bawah produksi Radius One, memang cukup teruja sebab dah lama memang nak berlakon dengan mereka.
“Saya pun suka dengan watak Adelia yang mana kali ini memperlihatkan watak isteri yang kembali bangkit bila diri dicurangi suami, lain daripada watak-watak baik yang pernah saya jayakan sebelum ini,” katanya lagi.
Isteri Halal yang diarahkan Uchee Fukada bakal memulakan siaran pada 27 Februari ini menerusi saluran Astro Ria (104).
Ia mengisahkan kisah hidup Adelia (Isyariana) yang meninggalkan keluarganya untuk berkahwin dengan Zayn (Aidit Noh), seorang lelaki daripada keluarga miskin.
Zayn kemudiannya bermain kayu tiga di belakang Adelia dengan menjalinkan hubungan sulit dengan sahabat baik Adelia sendiri iaitu Eyra, lakonan Uqasha Senrose.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.