Tampil dengan imej sederhana pada malam Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) baru-baru ini, penyanyi Aina Abdul menafikan dakwaan dirinya kini sudah letih untuk mengenakan fesyen-fesyen pelik di acara-acara berprestij.
Menurut Aina, fesyen di luar kotak itu sememangnya sudah menjadi identiti yang menaikkan namanya sehingga ke tahap sekarang.
“Sebelum ini, saya pakai baju bertemakan rumah dan blazer gergasi. Memanglah pakaian tersebut tidak selesa tapi ketidakselesaan itu juga adalah branding saya.
“Saya tidak pernah lupakan sisi saya yang itu. Akan ada lebih banyak persembahan yang akan datang pada masa hadapan. Persalinan itu tidak menggambarkan diri saya sepenuhnya.
“Ada banyak lagi ‘lapisan’ Aina Abdul ini,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, dia juga akan terus bereksperimentasi dalam soal fesyen namun imej sopan itu tetap menjadi keutamaannya.
“Sopan itu memang kritiria nombor satu. Walau pelik macam mana pun, sopan itu tetap harus dijaga. Pelik itu masih tetap ada dalam diri saya.
“Ia tak boleh dipisahkan kerana itu adalah periuk nasi saya juga.
“Nantikanlah kemunculan-kemunculan saya selepas ini. Aina Abdul yang pelik itu sedang berehat sekejap,” ujarnya lagi.
Dinobatkan selaku pemenang Bintang Paling Popular ABP36, penyanyi lagu Semalam itu mendedahkan dirinya tidak mempunyai rahsia atau ramuan untuk memastikan namanya terus kekal relavan.
Sebaliknya, dia hanya berusaha untuk mencari idea bagi menghasilkan muzik-muzik yang berkualiti.
“Saya tiada apa-apa tips atau rahsia. Kita hanya try and error. Saya juga tetap menonton penyanyi-penyanyi lain. Kadang kala kita kena lihat juga sekeliling kita. Apa yang orang lain keluarkan.
“Itu juga merupakan salah satu cara kita bekerja dalam industri ini. Pada saya, ia bukan fasal persaingan tetapi apa yang boleh kita belajar daripada artis lain.
“Malah, kita juga turut mengikuti perkembangan di media sosial. Walaupun saya ini tak berapa muda tapi saya tetap cuba untuk mendaki tangga itu langkah demi langkah.
“Saya tak tahu cara nak kekal relavan. Saya cuma cuba yang terbaik,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Kredit Foto: Instagram Aina Abdul
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI