“Itu Imej Kami, Tak Mahu…,” – Insiden Pergaduhan Di Kedai Karpet Bukan Marketing, Adam Lee & Isteri Minta Henti Spekulasi

Share

Aktor, Adam Lee menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan insiden pergaduhannya bersama seorang individu di sebuah kedai karpet baru-baru ini hanyalah sekadar gimik promosi.

Sebaliknya, Adam menjelaskan dia sebenarnya telah ditugaskan untuk bergurau dan mengenakan (prank) isterinya yang juga merupakan selebriti popular, Sweet Qismina untuk sebuah program televisyen.

“Assalamualaikum. Berkenaan video yang menjadi viral di media sosial, saya dan isteri ingin menyatakan yang kami tidak ada kena mengena dengan marketing yang dikeluarkan daripada mana-mana pihak.

“Saya ditugaskan untuk prank (bergurau) isteri saya dalam sebuah program yang tidak ada kata setuju untuk dikeluarkan sebagai ‘marketing purpose’,” katanya.

Penjelasan tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon drama Budak Tebing itu menerusi satu kenyataan di laman Instagram.

Dalam pada itu, Adam turut mendedahkan dia dan isteri tidak akan sesekali terlibat didalam kaedah promosi yang merendahkan-rendahkan diri sendiri.

“Kami sendiri terkejut dengan apa yang telah terjadi. Minta maaf jika ia telah menjadi satu perbualan hingga ada yang membuat andaian sendiri secara negatif.

“Bagi mereka yang mengenali kami juga tahu yang kami tidak akan promosikan sesuatu dengan cara begitu. Itu bukan kami. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Adam turut berharap agar semua pihak berhenti untuk menyebarkan dakwaan yang tidak benar berkaitan insiden berkenaan kerana ia boleh menjejaskan nama baik dirinya dan isteri.

“Video itu pula dikeluarkan selepas penggambaran. Jadi, kami memang tak tahu langsung apa yang terjadi. Kami berharap tiada lagi spekulasi berkenaan video prank tersebut.

“Yang mana boleh padam atau betulkan semula kenyataan, sila berbuat sedemikian. Itu adalah imej kami. Kami tidak mahu digambarkan seperti itu melainkan ada persetujuan bersama. Terima kasih dan Salam Ramadan,” akhirinya.

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan Adam Lee sedang bertegkar dengan seorang lelaki sehingga terpaksa ditenangkan oleh pemilik kedai karpet berkenaan yang juga merupakan pelakon, Dazrin Kamarudin.

Menerusi sebuah video di laman Instagram, Dazrin turut menafikan dakwaan tersebut adalah gimik bagi mempromosikan kedainya itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber: Instagram Adam Lee

Published by
Aizam Manaf