Nampaknya ramai yang kurang berpuas hati apabila Siti Nordiana dan beberapa penyanyi senior yang lain tidak tercalon dalam Anugerah Juara Lagu ke-32.
Malah mereka turut mempersoalkan mengapa kebanyakan penyanyi baru yang mendominasi pencalonan tersebut dan menyoalkan adakah penyanyi lama sudah tidak berbisa?
Melihat betapa kecewanya peminat Nana dengan keputusan ini, MH tidak lepaskan peluang untuk hubungi tuan punya badan untuk menjelaskan apa yang terjadi.
Menurut Nana dia reda dengan apa sahaja keputusan walaupun sudah berhempas pulas memberikan persembahan terbaik.
Menurutnya semua ini bergantung pada rezeki masing-masing dan tidak menolak penyanyi baru ada aura mereka tersendiri.
“Bagi saya sebagai seorang artis senior, saya akur dan terima semua ini dengan terbuka. Ya, mereka sangat bertuah kerana baru masuk industri terus dapat kejayaan tahap seperti ini.
“Kalau diikutkan seior lain semuanya terpaksa berkerja keras kadang-kadang dua tiga kali mencuba untuk ke tahap itu, namun ada juga yang gagal.
“Saya tidak menolak, artis baru ini tidak kurang hebatnya. Mereka ada aura mereka yang tersendiri dan sangat bertuah kerana kini ada platform media sosial, tidak seperti kami.
“Sungguh pun begitu saya harap mereka buat yang terbaik dan jangan sia-siakan kelebihan dan peluang yang ada.
“Kami sebagai senior tetap akan meyokong artis-artis baru. Lagipun benda ni adat bertanding. Ada menang ada kalah. Jadi tiada masalah. Lagi-lagi ini pertandingan juara lagu bukannya penyanyi, jadi yang dinilai itu bukanlah sekadar penyanyi sebaliknya potensi lagu juga dititik beratkan,” jelasnya pada kami.
Malah, apabila ditanya siapa dan apakah lagu pilihannya, tanpa berlengah Nana segera menjawab “Jampi”.
“Bagi saya semua okay, tetapi yang paling melekat di hati ialah Jampi, kerana arangment muziknya membuatkan saya rasa seperti ia diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi.”
Dengan penjelasan Nana, kami harap orang ramai memahami apa yang terjadi.
Benar kata Nana, sama ada penyanyi itu lama atau tidak, popular atau tidak lagu lebih memainkan peranan yang penting. Apapun goodluck Nana!