Sejak kejayaan filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencatat sejarah meraih kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia sebanyak hampir RM100 juta, kini rancak pula diperkatakan mengenai usul untuk menerbitkan beberapa filem yang menggunakan genre sama.
Antaranya, ramai yang mencadangkan kepada pengkarya tempatan untuk menghasilkan naskhah mengenai sumpahan Mahsuri yang cukup masyhur kisahnya di Langkawi, Kedah.
Ini termasuk pelakon Maya Karin yang menyambut baik cadangan itu dan mengidam untuk memegang watak lagenda Mahsuri.
Pelakon kacukan Melayu-Jerman itu juga mencadangkan sekiranya filem itu menjadi kenyataan kelak, ia mahu karya itu diarahkan oleh pengarah Mat Kilau iaitu Syamsul Yusof.
Syamsul juga dilihat teruja dengan cadangan itu dengan memberikan respon, “Good idea, let’s do it.”
Sementara itu, pelakon Izara Aishah menerusi laman Twitter miliknya mempunyai pandangan yang tersendiri berhubung pengarah mana yang dirasakan lebih sesuai untuk menggemudi naskah tersebut.
Izara mengatakan filem Mahsuri sekiranya berjaya difilemkan, ia sesuai diarahkan pengarah seperti U-Wei Saari, Dain Said atau pengarah wanita, Shuhaimi Baba.
“U-Wei, Dain Said dan Shuhaimi Baba would be ideal,” tulis Izara.
Izara menulis ciapan itu sebagai respon terhadap kenyataan pelakon Sharifah Aleysha yang dipercayai merujuk mengenai perancangan filem itu sekiranya ia benar-benar direalisasikan satu masa nanti.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.