Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, mencipta sejarah apabila menewaskan wakil tuan rumah, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu, dalam perlawanan akhir Terbuka China.
Pasangan yang berada di kedudukan ke-12 dunia ini mempamerkan semangat juang tinggi selepas ketinggalan pada set pertama, namun berjaya menguasai dua set berikutnya untuk menang 13-21, 21-12, 21-17 di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Prestasi pasangan ini di set kedua dan ketiga menunjukkan peningkatan yang ketara, di mana mereka tampil lebih tenang dan bertenaga, sekaligus memastikan kemenangan mutlak dan gelaran juara buat pertama kali di kejohanan berstatus Super 1000.
Dengan kemenangan ini, Sze Fei dan Izzuddin bukan sahaja membawa pulang hadiah lumayan bernilai AS$148,000 (RM622,000), tetapi turut menyamai rekod beregu legenda negara, Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Razif Sidek.
Kedua-dua atlet legenda negara itu merupakan beregu pertama Malaysia memenangi Terbuka China pada 1989.
Imbas kembali, ini merupakan kemenangan pertama Izzuddin dan Sze Fei dalam kejohanan berstatus S1000 setelah menjuarai Terbuka Jepun yang bertaraf S750, bulan lalu.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan