Penyanyi Datuk Nora Ariffin memaklumkan abangnya, Dato Wan Suhaimi telah meninggal dunia dunia kira-kira jam 11.50 malam Selasa.
Berita mendukacitakan itu dimaklumkan sendiri penyanyi Hanya Satu ini menerusi hantaran terkini di Instagram.
Sambil memuat naik foto kenangan bersama Allahyarham, Nora menyifatkan arwah sebagai abang yang baik.
“Saya nak maklumkan kepada saudara-mara atau pun kenalan-kenalan yang mengenali abang saya, Dato Wan Suhaimi atau pun orang panggil Abang Mie baru sahaja menghembuskan nafas terakhir setelah lama juga dia sakit.
“Sekarang baru sahaja lima minit, 11.50 malam (Selasa) dia pun telah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kota Bharu.
“Saya mohon pada semua yang mengenali beliau agar mendoakan, ampunkan segala dosa, halalkan segala hutang… doakanlah abang saya. Dia abang saya yang paling baik,” katanya sebak menerusi video yang dikongsikan.
Sementara itu pada ruangan kapsyen di hantaran sama, Nora turut akui arwah sebagai abang penyayang yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.
“Saya ingin maklumkan bahawa abang saya, Dato Wan Suhaimi baru saja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi di hospital Kota Bharu. Mohon doakan, diampuni dosa-dosa dia dan ditempakan bersama orang beriman.
“Dia adalah satu satunya abang yang paling baik dan sangat penyayang dengan saya serta selalu support kerjaya saya.
“Kesihatan abang Mie mula terganggu semenjak kematian isterinya yang tercinta. Al fatihah. Ja (Nora) sayang abang Mie, tapi tuhan lebih menyayangi dia,” tulis Nora.
Peminat dah rakan selebriti turut meninggalkan ucapan takziah serta mengucapkan al-Fatihah atas pemergiaan abang tersayang di ruangan komen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.