Sepatutnya menjadi kebanggaan negara atas penglibatannya menerusi gusti profesional, namun penerimaan netizen terhadap kemunculan ‘gadis gusti’, Nor ‘Phoenix’ Diana yang tampil berhijab menerima kecaman sesetengah orang.
Lebih teruk ada netizen yang mengaitkan sukan ganas pilihan Phoenix dengan aksi intim gadis berusia 19 tahun ini.
Kecewa dengan mentaliti ‘sakit’ mereka, peguam sivil dan jenayah iaitu Mufarwa Farid ada mengulas persepsi tidak sihat yang wujud.
Menerusi perkongsiannya menerusi Facebook, berita yang sepatutnya diraikan, bertukar menjadi bahan ejekan.
Lebih menyedihkan, komen berbentuk seksis yang ditulis menjadi perbincangan utama sehingga menenggelamkan kejayaan.
“Inilah dia, realiti segelintir orang kita.
“Apabila ada satu berita yang patut kita raikan dengan kebanggaan, golongan-golongan ini akan turunkan komen-komen yang amat menyakitkan hati.
“Komen seksis.
Komen lawak bodoh.
Komen berkait dengan seks.
Komen merendahkan kejayaan.
Komen buat kepala tau.
“Dan paling femes, komen tentang aurat.
“Selalu orang begini, bab perempuan dah bertutup litup itulah dia akan lebih menghina. Kononnya, dah pakai tudung, tapi nampak bonjolon.
“Kot dah tak nampak bonjolan, dikatakan warna baju tak ikut syariat. Warna dah ikut syariat, dikatakan pula sukan tu tak kena dengan wanita Islam. Wanita Islam tak boleh kasar-kasar katanya.
“Padahal, golongan ini jugalah yang sokong artis yang buka aurat dengan terbuka.
“Gegar Vaganza ada penyertaan artis veteran yang tak tutup aurat, itu takpa pula. Malah, kalau kita komen pasal aurat, dia persoal amalan kita balik.
“Ahli politik yang dia sokong, isteri ahli politik yang dia suka, isteri pemerintah yang dia puja, yang tak tutup aurat, takda pula golongan ni nak komen. Padahal terang-terang keluar rambut dan peha. Yang lagi teruk, dia pula backup kalau kita komen.
“Pasal seksis, pantang ada perempuan lakar kejayaan dalam bidang lelaki, confirm akan ditertawakan. Kononnya, tak guna diorang ni masuk bidang yang lelaki dominasi, sebab akhirnya, takkan sehebat lelaki.
“Pasal seks, ini lagi lah. Ada cerita pasal perempuan, mesti nak kait macam mana dia atas katil, macam mana dia dengan suami dia, macam mana dia bila bersama.
“Berita macam ni, paling tidak, kita ucapkan tahniah atas kejayaan yang dia kecapi. Memang tak sehebat kau pun kejayaan dia ni, tapi ianya satu kejayaan.
“Tapi, kau komen dengan penuh penghinaan dan lawak-lawak bodoh kau tu, memang nampak sangat-sangat tahap IQ kau macam mana. Bodoh nak mampos macam ni, memang takkan boleh diajar lagi dah,” luahnya.
Malah, lelaki ini juga menyelar sikap segelintir masyarakat yang tidak pandai menghargai dan hanya bijak menjatuhkan maruah dan moral seseorang.
“Satu-satu kejayaan yang orang Malaysia buat, tak dihargai langsung oleh segelintir rakyat negaranya sendiri.
“Sebab tu, dalam apa bidang pun, susah orang kita nak pergi jauh. Bukan tak boleh, tapi susah.
“Baru nak mengorak langkah, mesti ada lembu-lembu yang buang tahi di hadapan jalan.
“Ha, bacalah sendiri apa tahi lembu-lembu ni buat.
“Kalau nak lagi puas, search ‘Harian Metro Gusti’. Tengok komen, bersedialah murung,” tulisnya dengan memuatkan beberapa komen yang dilontarkan mengenai penggusti wanita ini.
Inilah dia, realiti segelintir orang kita.Apabila ada satu berita yang patut kita raikan dengan kebanggaan,…
Posted by Mufarwa Farid on Thursday, 11 July 2019
Terdahulu, tular di media sosial apabila Nor ‘Phoenix’ Diana, 19 yang mengenakan hijab, mencuri tumpuan apabila muncul sebagai juara wanita pertama yang memenangi kejuaraan Malaysia Pro Wrestling dalam acara MyPW Wrestlecon baru-baru ini.
Foto : Facebook Mufarwa Farid
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI