Tidak dinafikan, sinaran bintang Siti Nordiana sejak menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua kian bergemerlapan.
Satu demi satu tawaran hadir dan dia kini turut aktif dalam lakonan.
Terkini, lagu duetnya bersama Jaclyn Victor sudah diumumkan sebagai antara 12 lagu yang bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) Februari depan.
Terkini, dia dan protogenya, Zaaim muncul sebaagai juara program Mentor 7, minggu lalu.
Lalu, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Terpaut Sayang Padamu ini ditanya adakah dengan kemenangan yang diraihnya kini sudah meletakkan dirinya naik setangga di dalam liga lain dalam seni.
Katanya, tiada apa yang berubah. Dia masih menjadi diri-sendiri, malah sejak awal terlibat dalam industri.
“Alhamdulillah. Bagi saya ini rezekilah. Ia terpulang kepada peminat yang melihat. Bagi saya, saya ni sama sahaja.
“Saya akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri, malah selepas lagu Nisan Cinta diumumkan bakal bersaing di AJL pun saya tetap ikuti kelas vokal,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, dia juga mengakui ada sisi positif yang dipelajari daripada Zaaim dalam nyanyian.
“Saya suka dengan lontaran vokalnya. Saya perhatikan saja cara dia menyanyi. Sikit-sikit input saya ambil.
“Dia memang boleh menyanyi dan apa yang boleh saya cakap, kita apa yang kita pelajari daripada orang sekeliling adalah antara pengalaman yang boleh kita aplikasikan dalam apa jua perkara yang dilakukan,” jelas Nana jujur.
Terdahulu, Nana dan Zaaim yang diumumkan sebagai juara Mentor 7 lalu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM80,000, sebuah kereta tajaan Aerocar serta trofi.
Foto: Instagram Siti Nordiana
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI