Titanic merupakan sebuah filem yang cukup ikonik saat ditayang kepada umum pada 1997. Populariti filem ini bukan sahaja melonjak nama pengarahnya namun pelakon utama filem tersebut, Kate Winslet.
Bergandingan bersama Leonardo Dicaprio, penampilan Kate yang ketika itu berumur 22 tahun cukup memberi kesan. Dia dengan serta merta menjadi antara pelakon wanita dambaan ramai.
Walaupun begitu, ada kisah di sebalik kejayaan yang dikecapi. Menurut Kate dalam satu temubual bersama Porter, dia menyifatkan populariti selepas membintangi Titanic cukup menakutkan.
“Saya rasa seperti saya perlu kelihatan dengan cara tertentu, atau pun menjadi orang lain. Kerana media menceroboh kehidupan saya dengan signifikan ketika itu, hidup sangat tidak menyenangkan,” kongsinya.
Setelah menjadi popular, ramai pihak mengharapkan dia muncul dalam filem-filem berskala besar dan itu menjadi satu perkara yang kurang disukai oleh pelakon asal England ini. Segelintir wartawan pula mempertikai keputusannya itu.
“Ada ketika wartawan mepertikaikan kenapa saya memilih untuk melakukan projek-projek kecil. Tapi saya tetap lakukan juga. Jadi popular itu menakutkan,” ucapnya lagi.
Walaupun begitu Kate menjelaskan lagi yang dia tidaklah membenci pengalamannya yang melakonkan watak Rose DeWitt Bukater dalam filem Titanic. Baginya menjadi terkenal kerana filem itu bukanlah beban melainkan satu-satu keadaan spesifik yang membuatkannya rasa begitu.
Sepanjang kerjayanya selama lebih 33 tahun dalam industri seni, Kate telah memenangi pelbagai anugerah termasuk satu Anugerah Academy atau Oscars dalam kategori pelakon pembantu wanita terbaik menerusi lakonannya dalam filem The Reader.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan