Penyanyi Leez Rosli berbangga dan tumpang gembira dengan pencapaian suaminyanya, Aepul Roza yang dinobatkan sebagai juara sulung program The Hardest Singing Show (THSS).
Menurut Leez, dia sememangnya berdebar dengan segala gimik yang dilakukan pada pentas akhir namun lega kerana semua berjalan seperti yang diharapkan.
“Alhamdulillah syukur, Allah permudahkan semua. Setiap gerak atas stage dari Aepul, dancers, Drama Band, kostum dan semua props, semua on point.
“Hidraulik drum tu paling risau sebab masa rehearsal drum tu naik 90 degree tetiba kerusi patah. Nasib baik sempat Aepul tahan pakai kaki. Kalau tak penyek muka lakiku,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh bekas bintang Akademi Fantasia musim ke-4 itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Leez turut berbesar hati apabila kemenangan suaminya itu mendapat persetujuan ramai pihak.
“Suamiku, malam tadi ramai orang merestui kemenangan hampa. Kami nampak macam mana effort ampa dan team kita untuk bagi jadi setiap minggu.
“Mungkin ini kejayaan yang kecil bagi sesetengah orang tapi ini merupakan the hardest moment yang kami dan team tak akan lupakan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Leez turut berharap agar kemenangan ini tidak menjadikan suaminya lebih sombong dan membangga diri.
“Allah sudah bagi rezeki yang sebegini. Jadi, tolong jadi diri sendiri. Sentiasa rendah diri dan jangan sombong (Kalau sombong dengan perempuan lain tak mengapa).
“Jaga setiap amanah Allah sebaiknya seperti selalu. Jangan lupa diri. Kami sentiasa ada di belakang ampa mendoakan yang terbaik buat ampa,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Leez turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat yang telah bertungkus lumus menunjukkan sokongan terhadap Aepul sepanjang bertanding di THSS.
“Terima kasih team Aepul Roza yang bekerja keras lebih 100% setiap minggu. Korang memang mantap! All out setiap minggu walaupun penat tak cukup tidur, sakit-sakit badan dan sampai sorang-sorang demam.
“Dan kepada semua fans yang sanggup turun setiap minggu support, ada yang datang dari jauh. MashaAlla, terima kasih. Hanya Allah sahaja yang mampu balas segalanya,” akhirinya.
Terdahulu, kemenangan tersebut membolehkan Aepul membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM150,000, pakej pelayaran dan trofi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Leez Rosli