Pelakon, Dayana Roza menggesa pihak kerajaan untuk menjalankan ujian mental terhadap para pekerja taska, tadika atau pusat asuhan susulan banyak kes kematian bayi dan anak kecil yang berada dalam jagaan mereka, akhir-akhir ini.
Menurut Dayana, ujian ini perlu dilaksanakan bagi memastikan mental mereka berada dalam keadaan stabil kerana tugas menjaga anak kecil sememangnya mencabar.
“Dah banyak sangat kes macam ni. Kerajaan kena start buat mental health check up untuk semua yang kerja taska atau tadika termasuk pengasuh.
“Tengok diorang fit tak untuk jaga budak kecil dan semua kena daftar,” tulisnya.
Perkara itu disuarakan sendiri oleh pelakon drama Rahsiamu Selamat Denganku ini menerusi sebuah hantaran di Instagram Stories.
Katanya lagi, para pekerja taska dan pusat asuhan perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap pekerjaan mereka dan bukan sekadar untuk menerima gaji sahaja.
“Nak jaga anak sendiri pun kadang menguji kesabaran kita. Inikan lagi anak orang. Kalau tiada minat nak jaga budak, jangan kerja. Tak semua orang mampu. Jangan kerja sebab duit sahaja.
“Kerja ni melibatkan nyawa anak orang dan ibu bapa hantar bukan free. Tanggungjawab besar sangat nak jaga anak orang ni. Kerajaan kena buat sesuatu,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai seorang bayi yang berusia empat bulan yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska di Kuala Langat.
Bayi tersebut didakwa meninggal dunia tanpa diberitahu sebab atau punca secara terperinci oleh pihak taska.
Malah, terdapat dakwaan yang mengatakan berlaku kecuaian dan pengabaian daripada pihak taska sehingga menyebabkan kematian anak kecilnya itu.
Pihak polis turut mengesahkan premis taska terbabit tidak berlesen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini