Pelbagai kisah rumah tangga diganggu individu ketiga sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan, baik daripada golongan selebriti mahupun orang biasa.
Bercakap secara umum, pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan, 69, menitipkan pesanan serta nasihat buat para suami agar sentiasa menghormati isteri serta memahami perasaan suri hidup masing-masing.
“Setialah dengan isteri, hormati dan fahami perasaan mereka.
“Dalamilah erti kesetiaan dan hargai kerana hidup tanpa janji akan menjadi tidak bermakna.
“Pegang kasih sayang itu dan insyaAllah rumah tangga kita akan selamat. Cuma, saya tidak faham bagaimana seorang wanita sanggup melukai hati wanita lain,” katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut bersimpati dengan golongan isteri yang pernah menjadi mangsa keganasan suami sendiri.
Menurutnya, tindakan sebegitu adalah sesuatu yang perlu dikecam kerana suami, sifat azalinya adalah untuk melindungi isteri serta orang tersayang.
“Jika semuanya itu benar-benar berlaku, memang kasihan kepada si isteri dan saya tak bersetuju dengan tindakan sebegitu.
“Namun, kadang-kadang ada juga isteri berlagak jadi mangsa dan ada juga segelintir isteri yang sengaja mereka-reka cerita sehingga perkara itu memberi persepsi buruk terhadap si suami.
“Kita memang kena berhati-hati dengan kes-kes sebegini,” katanya.
Jalaludin pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Hashimah Aksan pada tahun 1977 sebelum arwah isterinya menghembuskan nafas terakhir pada 2016.
Kemudian, pada tahun 2017, beliau kembali bergelar suami kepada Datin Rapidah Abdul Ghani.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI