Berita

Jamal Abdillah Bakal Timang Anak Ketujuh Pada Usia 65 Tahun, Isteri Hamil Dua Bulan Alami Alahan Teruk & Dirawat Di IJN

Share

Penyanyi Legenda, Datuk Jamal Abdillah bakal menimang cahaya mata ketujuh apabila memaklumkan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin,  kini sedang hamil dua bulan.

Zai Izzati dijangka melahirkan anak kelima mereka pada awal tahun depan dan Jamal bersyukur bakal dikurniakan anak lagi kerana itu adalah rezeki Allah SWT.

Berkongsi mengenai cahaya mata, penyanyi lagu Gadis Melayu itu bagaimanapun tidak menafikan cabaran dalam menguruskan anak-anak pada usia emas.

Namun bintang berusia 65 tahun itu bersyukur mempunyai pembantu untuk menjaga mereka.

“Memang ada pembantu di rumah jaga anak-anak. Dari masa ke semasa saya ambil pengasuh mengikut hari dan jam.

“Tugas mereka berbeza sedikit, mengajar, bermain serta merancang aktiviti anak-anak ini. Azura dan Issac dah sekolah, jadi senanglah sikit,” katanya, petik Harian Metro.

Dalam pada itu, Jamal turut memberitahu isterinya telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat alahan mengandung yang teruk.

“Kepada sahabat sahabat yang isteri alahan mengandung, hati-hati kalau lebih seminggu muntah dan tak makan.

“Kalau diberi ubat tahan muntah, boleh menyebabkan serangan jantung. Sekarang di IJN, doakan kesembuhan untuk isteri saya,” katanya.

Menurut Jamal, Zai Izzati mengalami alahan tidak makan, tidak minum dan muntah-muntah angin apabila berbadan dua.

“Sebelum ini dia sudah dimasukkan ke hospital selama empat hari. Hari pertama dia alahan lepas mengandung, dia tak makan, tak minum dan air tak boleh masuk.

“Jadi, dia ditahan di wad selama empat hari dan dibenarkan balik. Tapi balik rumah pun keadaannya sama juga, saya risau dan dia masuk hospital semula empat hari,” katanya.

 

Tambahnya lagi, disebabkan alahan muntah-muntah, Zai Izzati akhirnya terkena tiroid dan mengalami sakit tekak.

“Kemudian doktor bagi ubat tahan muntah dan tiroid. Kedua-dua ubat ini kita tak tahu yang mana satu yang buatkan otot-otot dia jadi kejang dan tekak dia kejang.

“Terkini alhamdulillah, dia okey. Kandungan memang sihat. Sekarang memang dia di IJN. Semalam dimasukkan ke salah sebuah pusat perubatan di sini.

“Bila jadi begini, mereka pindahkan isteri ke pakar jantung dan itu yang dihantar ke IJN. Kami sedang tunggu keputusan daripada pakar jantung tapi nampak ada perbezaan berbanding sebelumnya,” katanya.

Difahamkan, Zai Izatti bakal melalui prosedur angiogram (masukkan tiub) untuk kenal pasti punca sebenar yang berlaku.

“Apapun saya harapkan doa daripada peminat-peminat semua agar anak saya yang kelima ini sihat sampailah hari kelahiran,” katanya lagi.

Hasil perkongsian hidup dengan Zai Izzati yang dikahwininya pada 1 April 2017, mereka dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5 tahun, El Isaac Yamani, 4, Iskandar Rayyan Yamani, 2 dan Rahil Laura Salsabila Yamani yang kini berusia setahun lebih.

Jamal turut memiliki dua lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH