Berita

Jamal Abdillah Rupanya Cenderung Pakai ‘Perfume’ Wanita, Miliki Beratus Koleksi – “Wangi, Pakai Sejak Dulu.”

Share

“Dia wangi, pakai sejak dulu.” Demikian kata penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah yang mengakui dia lebih cenderung untuk mengenakan wangian wanita berbanding lelaki kerana aromanya yang lebih lembut.

Jamal, 65, berkata, sehingga kini dia sudah memiliki beratus koleksi minyak wangi dan tidak menafikan ada sesetengah haruman wanita lebih tahan lama.

“Minyak wangi lelaki saya kurang pakai kerana ada bau yang terlalu ‘strong’. Bagaimanapun ada juga haruman lelaki jenama tertentu yang saya pakai.

“Kalau haruman wanita pula, saya pilih yang betul-betul wangi. Setakat ini belum ada yang menegur mengapa saya pakai minyak wangi wanita, cuma ada yang kata bau wangi,” katanya.

Penyanyi lagu Di Penghujung Rindu ini berkata demikian ketika ditemui di majlis Pelancaran Minyak Wangi Verlune by Datuk Jamal di sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri tersayang, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28.

Berkongsi lanjut, Jamal mendedahkan minyak wangi tersebut adalah nota bauan yang diusahakan, diilhamkan menerusi cinta dan pengabdian kepada isteri tercinta.

Ia sebagai dedikasi tulus dari hati si suami terhadap isteri seiring dengan keharmonian rumah tangga yang dibina mereka.

“Verlune membawa maksud bulan di dalam bahasa Perancis, melambangkan keteguhan, cahaya dan cinta kepada isteri yang menjadi tulang belakang dalam setiap kejayaan yang dikecapi.

“Bulan juga mencerminkan ketenangan dan kestabilan yang saya alami sendiri di tengah-tengah kerumitan serta ujian dalam kehidupan profesional saya sebagai seorang penyanyi.

“Boleh dikatakan ‘bulan’ yang saya maksudkan itu ialah isteri saya dan maksud Verlune itu sendiri melambangkan keteguhan, cahaya dan cinta,” katanya lagi mengenai haruman yang dijual pada harga RM198 sebotol.

Namun bersempena pelancaran pertama produk itu, pihaknya turut berbesar hati memberikan promo istimewa dengan menawarkan harga serendah RM149 sebotol.

Haruman ini boleh didapati menerusi media sosial selain platform dagangan e-digital TikTok Shop jenama ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH