Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah tidak kisah sekiranya dua anaknya, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani ditegur juri tetap program Famili Duo, Mas Idayu sepanjang rancangan itu berlangsung.
Hadir memberikan sokongan buat anak-anaknya di pentas akhir pada malam Ahad, Jamal menunjukkan isyarat ‘thumbs up’ ketika ditanya Mas Idayu sama ada dia marah ketika juri itu menegur anaknya sebelum ini.
Kehadiran Jamal merupakan kemunculan pertama sejak anak-anaknya bertanding dari minggu pertama pada 18 Disember 2022.
“Datuk marah tak saya tegur anak Datuk?“ soal Mas Idayu sebelum diberikan respon isyarat tangan tersebut.
Pada malam final, duo adik-beradik itu menyanyikan lagu Potret nyanyian Akim & The Majistret dan Pelukan Angkasa (SOG & Shila Amzah) untuk segmen pertama.
Mendapat pujian daripada Mas Idayu dan Ajai, persembahan Yamani dan Zaki mendapat sorakan hangat penonton.
“Mummy (panggilan Mas) suka progress awak. Dari awal awak menjunam, tapi nampak peningkatan tu.
“Sebab tu kalau mummy marah maksudnya mummy mahu kamu buat yang terbaik. Malam ini kamu sudah pun buktikan kerana memang banyak peningkatan pada persembahan kamu,” katanya.
Selain Zaki dan Yamani, pentas akhir Famili Duo turut menampilkan barisan finalis termasuk Sissy Imann dan Naim Daniel, Wanie Kayrie dan Bella Astillah serta Ayda Jebat dan Fyna Jebat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.