Kecintaan mendalam membuatkan bekas deejay radio Era dan Sinar, Jamal Jamaluddin, 59, tidak pernah jemu daripada menggalas tugas sebagai penyampai radio sejak hampir 40 tahun bergiat aktif dalam bidang itu.
Jamal juga mengakui dia pernah mendapat tawaran daripada dua buah stesen radio sebelum pandemik melanda namun hasrat itu tidak kesampaian disebabkan keadaan semasa.
“Siapa kata saya tak rindu jadi penyampai radio? Tentulah saya rindu. Malah ramai kalangan peminat dan pendengar yang selalu mengharapkan agar saya kembali ke udara, menghiburkan mereka dengan celoteh dan seleksi lagu lama di tengah malam.
“Satunya, Nasional FM tetapi diduga pula dengan negara yang tiba-tiba dilanda pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kool FM juga ada panggil saya. Namun bila saya nyatakan kesediaan, tiba-tiba berlaku perubahan di mana pengurusan menukar stesen itu dengan jenama baru, Buletin FM,” katanya.
Namun, rezeki tidak diduga apabila dia kemudiannya ditawarkan bagi ‘menghidupkan’ konti stesen radio online, Myfriend FM yang kini sudah genap setahun beroperasi sejak November tahun lalu.
“Saya ada beri cadangan pada pengurusan radio MyFriend FM supaya jadikan konsep radio ini 100 peratus retro. Ini kerana, sudah begitu banyak stesen lain memainkan lagu-lagu baru. Walhal, ramai pendengar yang sukakan lagu lama yang membangkitkan nostalgia juga.
“Saya nak jadikan MyFriend ini umpama radio Sinar yang mana kalau ingat balik, pada lima tahun pertama, mereka mainkan cuma lagu lama. Itu yang buat Sinar jadi stesen nombor satu pada 2010.
“Saya yakin, menerusi formula yang sama, Myfriend FM kini pun sudah memiliki kelompok pendengar setia tersendiri. Saya pun gembira di sini sebab tiada protokol dan yang penting berkonsep retro,” katanya.
Menerusi stesen radio online tersebut, kata Jamal, dia diberi tanggungjawab untuk mengendalikan segmen Cetusan Hati Dan Dedikasi pada setiap Rabu, jam 11 malam sehingga 3 pagi manakala setiap Khamis menerusi segmen Borak Santai Bersama Artis Retro pada jam 11 malam hingga 3 pagi.
Myfriendfm bersiaran menerusi website http://myfriend.fm, aplikasi Playstore myfriendfm, http://tiktok.com/@myfriendfmofficial dan Facebook Myfriend.FM.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Beto Kusyairy & Azhan Rani