Pelakon dan usahawan popular Aeril Zafrel mengakui setakat ini dia tidak terlintas untuk berlaku curang terhadap isterinya, Wawa Zainal kerana tidak mahu merosakkan kepercayaan yang telah dibina.
Menjawab soalan media mengenai bagaimana caranya dalam menepis godaan orang ketiga, Aeril menyifatkan Wawa sebagai pelengkap hidup yang sudah sempurna apa adanya.
“Saya beruntung sebab Wawa cantik di mata saya. Apa pun saya tidak pernah ada niat yang macam tu (ada orang ketiga), tetapi kalau ada ‘bisikan’ yang tidak baik saya akan ingat pada anak-anak.
“Sama ada wujud atau tidak cubaan orang ketiga… saya pun tidak boleh nak jawab sebab kalau orang suka kita dalam diam, manalah kita nak tahu kan?
“Cumanya kalau kita tidak memulakan, perkara itu tidak akan menjadi, betul tak?, katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Wawa Cosmetics di Bangi, pada Jumaat.
Malah bapa kepada empat cahaya mata itu juga percaya dengan kifarah.
“Saya lebih senang untuk memikirkan masa depan. Saya juga tak mahu rosakkan apa yang dibina ini dengan kesilapan diri sendiri. Saya pun yakin, Wawa pun akan buat perkara sama memandangkan dia seorang yang setia.
“Saya percaya kalau bual hal yang tidak baik, mesti kena karma. Jadi bila ia berlaku sudah nak patah balik. Malah sudah tentu kepercayaan si isteri juga akan hilang.
“Jadi pada pandangan saya, jangan pernah ada niat untuk buat sesuatu yang kita sendiri pun tak boleh nak kawal,” katanya lagi.
Sementara itu, berkongsi mengenai kemeriahan rumah tebuka yang dianjurkan pula, Wawa menjelaskan acara tahunan itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada kenalan, rakan niaga, selebriti dan pekerja Wawa Cosmetics.
“Ini tahun ketiga kami anjurkan di HQ dan kalau nak diikutkan kos untuk majlis hari ini sekitar RM60,000.
“Alhamdulillah kami syukur bila setiap tahun ramai yang sudi hadir melebihi apa yang kita jangka. Memang berniat untuk meraikan semua orang. Namanya pun rumah terbuka,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan terkini bisnes, pihaiknya baru sahaja melakukan kerjasama dengan pelakon dan penyanyi Abby Abadi menerusi pelancaran Anti Pigmen Set.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini