“Jangan Berhenti Usaha Kerana Mulut Orang,” – Elizad Syukur Bapa & Mentua Tak Soal Fasal Zuriat, Nasihat Jep Buat Ramai Tersentuh

Share

Semalam, stesen radio, Sinar FM ada berkongsi sebuah video menyentuh jiwa mengenai luahan seorang pendengar yang akhirnya dikurniakan zuriat selepas lima kali mengalami keguguran.

Namun, individu yang dikenali sebagai Kak Dian itu akui agak ralat kerana ibu dan bapa mentuanya telah terlebih dahulu meninggal dunia dan tidak berkesempatan untuk melihat wajah cucu mereka.

Antara yang turut menzahirkan rasa sebak selepas mendengar luahan tersebut termasuk pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad Sharifuddin.

Menurut Elizad, kisah Kak Dian ini sangat dekat dengan dirinya yang sehingga kini masih berusaha untuk mendapatkan zuriat selepas hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Elizad turut bersyukur kerana dikurniakan bapa dan mentua yang sangat memahami mengenai keadaannya itu.

“Orang tak tahu betapa susahnya kita pergi berubat dan ikhtiar. Kalau ikutkan, tahu’ depan merupakan hampir 10 tahun saya berkahwin. Mungkin belum ada rezeki.

“Namun, yang paling saya kagum adalah mertua dan bapa saya tak pernah tanya bila saya nak ada anak. Kalau ikutkan, dalam adik beradik saya, mereka semua punyai anak yang sangat ramai tapi saya seorang sahaja yang belum ada anak,” katanya.

Pada masa sama, penyampai program Pagi Di Sinar ini juga turut tumpang gembira dengan kisah pendengar tersebut.

“Bapa dan mentua saua tak pernah desak. Jadi, bila pendengar kita berkongsi kisah ini, saya tahu dia ingin tujukan kepada mentua tapi tak kesampaian.

“Namun, bila Allah kurniakan cahaya mata buat dia, bayi tersebut ibarat pengganti untuk menjadi penyeri keluarga,” kongsinya lagi

Pada masa sama, pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu turut menitipkan nasihat buat Elizad agar tidak berhenti berusaha hanya kerana terkesan dengan mulut orang sekeliling.

“Pengajarannya adalah asalkan kita tak putus asa. Selain kita berdoa dan tawakal, usaha itu jangan berhenti kerana dek mulut orang.

“Ijad berusaha dan berikhtiar sahajalah. Yang selebihnya kita berserah. Jangan pula Ijad putus asa bila dah 10 tahun mencuba pelbagai cara.

“InsyaAllah, ada rezeki nanti tu. Tepat pada masanya,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh selepas mendengar nasihat daripada Jep selain turut mendoakan semoga Elizad diberikan rezeki untuk dikurniakan zuriat.

“Bagus nasihat Jep. Moga Allah kurniakan rezeki zuriat soleh solehah buat Elizad.

“Semoga terus menjadi wanita yang sentiasa memberikan inspirasi kepada orang ramai.

“Dapat mentua yang baik pun adalah satu rezeki.

“Mana tahu asbab kesabaran Elizad dan suami, Allah nak hadiahkan syurga tanpa hisab buat kalian.

“Mendengar kata-kata Jep yang penuh perhatian. Sedap ayatnya. InsyaAllah Allah mendengar doamu,” antara komen-komen netizen.

Terdahulu, Elizad pernah menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pertama pada Februari 2020 sebelum disahkan mengalami keguguran pada November tahun yang sama.

Pada Mac 2022, dia memaklumkan kembali menjalani rawatan IVF kali kedua dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Sekadar informasi, Elizad dan suami, Shamsul Baharin Rahman mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2015.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Sinar FM & Siti Elizad

Published by
Aizam Manaf