Bakal menimang cahaya mata pada usia 55 tahun, penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie menegaskan tahap kesihatannya kini menjadi keutamaan agar dia dapat menjaga keluarga dengan baik.
Lantaran itu, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman menasihati para suami yang sudah berusia untuk membuat persediaan dari segi kesihatan sekiranya mereka berhasrat untuk menimang cahata mata.
“Saya pernah bercakap dengan isteri, saya akan menjaga badan dan sentiasa memastikan diri sihat. Kalau tidak, bila hantar anak ke sekolah nanti, kawan-kawan dia ingat saya atuk dia pula.
“Ini merupakan satu cabaran buat individu yang sudah berusia bila mereka dikurniakan cahaya mata baharu.
“Jangan pula kau buat anak, selepas itu kau sakit. Kesian pada isteri dan anak itu. Tuhan beri saya cabaran untuk membesarkan anak ini dengan sihat dan baik.
“Kalau kita buat anak tanpa perancangan, pada saya, itu berdosa. Ibarat menganiaya isteri,” katanya kepada MH.
Awie berkata sedemikian ketika ditemui media pada sesi latihan kumpulan Wings bersempena Konsert Wings The Rock Emperor pada Selasa.
Ditanya mengenai reaksi anak-anaknya yang lain bila dimaklumkan mereka bakal dikurniakan seorang lagi adik, Awie memberitahu, mereka menerimanya dengan hati terbuka.
“Anak-anak ingat saya bakal sambut menantu. Rupa-rupanya bakal menimang cahaya mata. Anak-anak saya reda sahaja. Lagipun, bersama isteri saya ketika ini, kami baru punyai seorang anak.
“Dia juga ada bagitahu anak-anak lain, kalau boleh, dia mahukan seorang anak perempuan. Biar berpasangan. Kita doakanlah agar kandungan ini merupakan anak perempuan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Awie turut mendedahkan perasaan bergelar bapa pada usia sekarang amat berbeza jika dibandingkan ketika usianya masih muda.
“Sakarang, saya lebih perihatin terhadap anak-anak. Ketika umur 30-an dulu, perangai tak senonoh sikit. Masa itu, saya muda dan tak begitu melihat tentang keluarga.
“Ketika ini, saya tak boleh kalau tak tengok anak. Berpisah tiga atau empat hari pun boleh meleleh air mata. Saya lebih fokus.
“Dulu pergi penggambaran sebulan pun tak kisah. Macam tiada anak. Itu bezanya ketika zaman muda dan bila meningkat usia,” akhirinya.
Terdahulu, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin pada 7 Oktober 2016. Mereka kemudiannya dikurniakan cahaya mata sulung pada 2020.
Awie sebelum itu pernah berkahwin dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha. Mereka bercerai pada 1 November 2014.
Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.