Hari ini merupakan tarikh akhir untuk menjelaskan cukai taksiran, namun masih ramai yang belum melaksanakan tanggungjawab antaranya golongan artis BBNU yang dikatakan masih kabur dan tidak jelas.
Mengambil kesempatan bertemu di Creacion & Simplysiti By Siti Nurhaliza Raya Private Viewing Fashion Show semalam, Datuk Seri Siti Nurhaliza menasihatkan golongan selebriti BBNU ini segera melangsaikan cukai yang tertangguh.
Ulasnya, sekiranya masih kabur akan langkah yang perlu dilakukan, hanya pergi ke Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk meminta nasihat dan pandangan pihak berkuasa.
“Adik-adik semua, kita perlu berkomunikasi dengan pihak berkuasa. Saya percaya adik-adik yang lain dekat satu tahap terlepas pandang untuk melakukan tanggungjawab.
“Sekarang ni sudah mudah, ada secara online, kita buat sendiri tafsiran, perlu ada orang yang ingatkan artis BBNU sebab kadang-kadang mereka tidak ada masa dan tak terfikir pun perkara macam ni,” katanya kepada MH.
Penyanyi tersohor ini juga memberi amaran supaya tidak lari daripada membayar cukai kerana ini adalah tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“Sebenarnya kena ingatkan. Sebab ada satu ketika, saya juga terlepas pandang tapi orang sekeliling saya selalu ingatkan buat segala persiapan sebelum dapat surat, dan kena bayar sekaligus.
“Daripada sekarang, kalau ada yang betul-betul tak tahu nak buat apa, pergi sahaja ke Lembaga Hasil Dalam Negeri dan minta pandangan mereka dan mereka bertimbang rasa dengan artis-artis ni. Jangan lari.
“Ini adalah tanggungjawab dan kita tak boleh lari. Kalau ada masalah, cuba bercakap dengan pihak berkuasa,” tambahnya lagi.
LHDN sebelum ini mendedahkan lebih 30 peratus artis muda didapati gagal mendaftar sebagai pembayar cukai dan tidak mengishtiharkan pendapatan yang diperolehi.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI