Sehingga ke hari ini, nama atlet jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly terus menjadi perhatian di media sosial.
Bukan hanya keunggulannya kerana menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, tetapi figura Abdul Latif turut ‘memancing’ mata ramai.
Menerusi laman Twitter misalnya, seorang pengguna membuat perbandingan foto sewaktu atlet berkenaan bertanding di sukan Paralimpik Rio 2016 ketika dia berusia 19 tahun bersama wajah terkini di Paralimpik Tokyo 2020.
Kini berusia 24 tahun, penampilannya berbeza dalam dua edisi kejohanan memberikan ruang buat pengguna Twitter memberikan reaksi masing-masing.
Ramai yang memuji dan ada yang turut menyamakan penampilan Latif kini mirip pelakon Remy Ishak, sehingga ia menjadi tajuk artikel laman web tempatan.
“Jangan macam tu malu saya,” tulisnya ringkas beserta emoji terhadap artikel yang berkaitan.
Imbas kembali, atlet berkenaan berjaya mencatat 7.45m dalam acara lompat jauh lelaki T20 pada lompatan kedua untuk muncul pemenang pingat emas.
Atlet Greece, Athanasios Prodromou melakukan 7.17m bagi meraih perak dan gangsa pula diraih Nicholas Hum dari Australia dengan lompatan 7.12m.
Sementara itu selain Abdul Latif, kontinjen paralimpik negara turut membawa pulang dua lagi pingat emas iaitu masing-masing menerusi pemain badminton Cheah Liek Hou dan atlet angkat berat, Bonnie Bunyau Gustin.
Foto: Instagram Latif Romly, Majlis Sukan Negara Malaysia