Pelawak dan pelakon, Shahrol Shiro berkongsi pandangannya berhubung program, Maharaja Lawak Mega 2021 yang baru sahaja membuka tirainya pada Jumaat lalu.
Jelas Shahrol, dia sebenarnya ingin membuat sedikit teguran berhubung isu pemilihan juri yang didakwa mempunyai kurang pengalaman di dalam dunia komedi.
Menurut Shahrol, juri bagi pertandingan tersebut sepatutnya dipilih berdasarkan pengalaman mereka di dalam bidang komedi supaya mereka boleh memberi tunjuk ajar serta bimbingan buat para peserta bertanding.
“Hadir menonton live dari rumah menyokong sahabat-sahabat yang bertanding musim terbaru Maharajalawak Mega 2021.
“Tidak meletakkan high expectations kerana semua kumpulan baru dibentuk walau ada peserta lama. Gelak tawa sedikit suram kerana penonton yang kurang atas faktor sop.
“Ada satu isu yang sering dibangkitkan dari dahulu ialah juri. Sepatutnya juri adalah mereka dari kalangan pelawak atau yang mempunyai pengalaman pernah buat persembahan diatas pentas kerana mereka lebih arif dan boleh memberi teguran yg boleh membina supaya peserta tahu dimana kesilapan,” tulisnya.
Pandangan itu dikongsikan sendiri oleh anggota kumpulan lawak, Shiro itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Facebook.
Katanya lagi, pihak penganjur sepatutnya boleh mengambil contoh menerusi program-program lawak di Indonesia yang sering menjemput orang-orang yang lebih arif untuk menyandang posisi tersebut.
Bagaimanapun, Shahrol menjelaskan tegurannya itu demi memantapkan lagi industri komedi negara dan bukanlah bersifat untuk menyakiti hati mana-mana pihak.
“Dengan itu kualiti persembahan boleh ditingkatkan dari peserta di minggu hadapan. Jika dibandingkan program pertandingan komedi di Indonesia, jurinya semua berpengalaman luas dalam bidang komedi jadi mereka tahu kesilapan dan memberi teguran yang membina. Jadi peserta dapat memperbaiki jadi yang lebih baik minggu hadapan.
“Tapi bila dilihat program nyanyian seperti Gegar Vaganza semua juri memang power dalam bidang muzik seperti Dato Ramli MS dan lain-lain. Kalau nak rating amik la Zul Ariffin.
“Jangan marah, cuma teguran sejak dulu dan niat saya nak lihat kualiti komedi Malaysia boleh setara Indonesia malah lebih baik lagi,” ujarnya lagi.
Terdahulu, menerusi persembahan minggu pertama, pihak MLM2021 telah pun memperkenalkan juri-juri iaitu Uqasya Senrose, Noh Salleh, Diana Danielle dan Datuk Rosyam Nor.
Sekadar informasi, kumpulan Shiro yang turut dianggotai oleh Ajak pernah menjadi johan program Maharaja Lawak Mega pada tahun 2018.
Sumber: Facebook & Instagram Shahrol Shiro