Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie akui teruja apabila berkesempatan membawa anak-anaknya yang masih kecil untuk menunaikan umrah bersama di Tanah Suci, Mekah.
Bagaimanapun, Irma tetap akui perjalanan umrahnya kali ini sememangnya memberikan cabaran yang berbeza namun, dia tetap gembira kerana berpeluang membimbing anak-anaknya itu.
“Umrah dengan anak-anak ni memanglah berbeza banding pergi bersendirian. Betul. Ada cabaran-cabarannya tapi secara peribadi saya sangat bersyukur dapat bawa Irfhan dan Naylie.
“Saya senang hati, rasa aman dapat bimbing dan dedahkan diorang untuk lebih dekat pada Allah SWT dan mencintai Rasulullah sejak dari usia kecil,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh ibu kepada dua orang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Dalam pada itu, Irma turut menyeru kepada seluruh ibu bapa untuk membuang rasa takut untuk merancang perjalanan umrah bersama anak-anak kecil mereka.
“Alhamdulillah, pengalaman serta detik-detik kenangan bahagia. Jadi, siapa-siapa yang bercadang nak menunaikan ibadah umrah dengan anak-anak, tak perlu risau berlebih-berlebih.
“Jangan takut, jangan fikir negatif tapi sentiasa sangka baik pada Allah. Bismillāhi tawakkaltu ‘ala Allāh,” kongsinya lagi.
Malah, Irma juga pecaya kanak-kanak akan mudah belajar dengan setiap ilmu yang bakal mereka peroleh sepanjang menunaikan umrah.
“Percayalah anak-anak akan belajar banyak perkara dari trip umrah. Sama macam bila diorang dapat pengalaman bercuti ke mana-mana kan, ini pengalaman ke tempat Nabi kita, tanah suci,” jelasnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut menyatakan pandangan yang sama selain turut berharap agar mereka juga akan berpeluang menjadi tetamu Allah satu hari nanti.
“Terima kasih bagi semangat. Saya pun risau juga. Saya akan berangkat hujung minggu depan membawa anak-anak bersama. Semoga Allah permudahkan segalanya.
“MasyaAllah seronoknya. Doakan saya semoga dapat bawa cucu ke sana tahun hadapan.
“Saya dan suami pun baru-baru ini bawa anak-anak umrah buat pertama kali. Alhamdulillah Allah mudahkan. Kami semua seronok dan gembira setiap kali ke masjid.
“Alham syukur. Doakan saya juga sampai ke sana.
“Sebenarnya bahagia sangat kalau dapat pergi umrah bersama anak-anak,” antara komen-komen netizen di Instagram.
Sekadar informasi, Irma telah mendirikan rumah tangga bersama pasangan, Redza Syah Azmeer pada tahun 2012.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangak ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Redza Syah Irfhan serta Irma Nur Naylie.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
.Sumber & Kredit Foto: Instagram Irma Hasmie